Anda di sini

SMK Lanang atasi Indah FC dalam pertemuan sulung

Advertisement

SIBU: Pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lanang yang rata-ratanya dibarisi pemain muda berjaya menewaskan pasukan Indah FC pada perlawanan sulung kedua-dua pasukan hujung minggu lepas.

SMK Lanang yang julung kali beraksi dalam Liga Sibu 2014 meraih kemenangan 2-1 dalam saingan Divisyen 2 yang telah bermula 29 Mac lepas.

Bagaimanapun, Indah FC melalui pemainnya, Perawi Ibrahim, terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-36 untuk kedudukan 1-0.

SMK Lanang yang tersentak dengan jaringan pendahuluan itu menggandakan asakan sebelum berjaya menyamakan kedudukan dua minit perlawanan bersambung pada separuh masa kedua.

Jaringan pada minit ke-47 oleh Daymond Ranggie itu memberi semangat kepada pasukan untuk memburu kemenangan sulung mereka dalam kancah Liga Sibu.

Pada minit ke-57, Mohd Hafiez Sabri berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk kedudukan 2-1 sehingga tamat masa perlawanan.

Sementara itu dalam perlawanan di antara pasukan Remaja FC dan Busana FC berakhir seri 1-1 pada petang Sabtu lepas.

Kedua-dua pasukan yang mempamerkan aksi berhati-hati, gagal menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama perlawanan.

Namun semuanya berubah pada separuh masa kedua apabila Nur Fazli Mahdi berjaya menjaringkan gol pada minit ke-50 untuk Remaja FC mendahului saingan.

Bagaimanapun, Busana FC dari Kanowit berjaya menyamai kedudukan pada minit ke-70 menerusi sepakan penalti oleh Collins Edwin.

Dalam pada itu, saingan Divisyen 1 Liga Sibu akan bermula pada 18 April ini di Stadium Tun Zaidi.

Perlawanan pertama Divisyen 1 menyaksikan pertemuan antara pasukan Rascom FC menentang Singgah Selalu (18 April), diikuti perlawanan kedua antara Rimba Hijau FC menentang TZ FC (19 April).

Advertisement