Anda di sini

Prestasi bekalan elektrik di seluruh negara bertambah baik

Advertisement

KUALA LUMPUR: Prestasi pembekalan elektrik di seluruh negara pada masa ini dilihat bertambah baik melalui pengurangan dalam catatan Indeks Sistem Purata Tempoh Gangguan (SAIDI), persidangan Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata di Semenanjung, catatan SAIDI menurun kepada 60.35 minit/pelanggan pada tahun lepas, berbanding 87.31 minit/pengguna pada 2008.

“Di Sabah, ia menurun kepada 423 minit/pelanggan pada tahun lepas, berbanding 1,856 minit/pengguna pada 2008, manakala di Sarawak ia menurun kepada 164 minit/pelanggan pada tahun 2013, berbanding 273 minit/pengguna pada 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Wong Tien Fatt @ Wong Nyuk Foh (DAP-Sandakan).

Mahdzir berkata melalui usaha berterusan, kerajaan yakin pencapaian SAIDI di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak bagi tahun-tahun akan datang akan bertambah baik.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Proton Holdings Bhd (Proton) bukan sahaja telah mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 12,000 orang, malah telah melahirkan banyak syarikat pengeluar komponen dan alat ganti kenderaan serta wakil jualan tempatan.

“Proton juga berjaya membangunkan keupayaan pengeluar dan alat ganti tempatan ini sehingga mampu membekalkan kepada syarikat-syarikat pengeluar kenderaan dunia.

“Selain itu, Proton berjaya meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam industri automotif,” katanya ketika menjawab soalan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai). — Bernama

Advertisement