Anda di sini

Parlimen tiada kuasa larang pilihan raya kerajaan tempatan

Advertisement

Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 tidak sah: Peguam

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam diberitahu bahawa Parlimen tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang yang melarang pilihan raya kerajaan tempatan diadakan.

Dalam hujahnya, peguam Tommy Thomas berkata Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menghapuskan hak badan perundangan negeri untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan di suatu negeri adalah tidak sah.

Katanya, Parlimen bertindak melampaui kuasanya apabila ia menggubal Seksyen 15 kerana seksyen itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan badan perundangan negeri mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan.

Thomas mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bekas presiden pertubuhan bukan kerajaan, Aliran, P. Ramakrishnan yang memfailkan petisyen bagi memohon agar pilihan raya kerajaan tempatan kembali diadakan.

Beliau mengemukakan hujah di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.

Thomas berkata mengikut Perkara 76 (4) Perlembagaan Persekutuan, kuasa Parlimen hanya terhad kepada memastikan wujudnya keseragaman undang-undang dan dasar berkaitan kerajaan tempatan.

“Dengan alasan bertindak mengikut Perkara 76 (4), Parlimen tidak boleh menghapuskan pilihan raya kerajaan tempatan,” katanya dan menegaskan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri.

Beliau berkata Seksyen 15 juga menafikan hak Ramakrishnan untuk mengundi dalam pilihan raya kerajaan tempatan.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching pula dalam hujahnya berkata Seksyen 15 adalah undang-undang yang sah.

Menurut beliau, seksyen itu digubal secara sah mengikut Perkara 76 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana di bawah perkara itu, Parlimen boleh menggubal undang-undang berkaitan perkara yang terletak di bawah bidang kuasa legislatif negeri.

Loke berkata walaupun pilihan raya kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa badan perundangan negeri, tetapi sekiranya undang-undang negeri berkenaan tidak selaras dengan undang-undang persekutuan, maka ia (undang-undang negeri) akan menjadi tidak sah.

Dalam petisyen berkenaan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan memohon mendapatkan perisytiharan bahawa Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 adalah tidak sah dengan mendakwa seksyen itu terbatal kerana Parlimen bertindak melampaui kuasanya mengikut Perlembagaan Persekutuan apabila menggubalperuntukan itu.

Dalam petisyen itu juga, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ramakrishnan berkata pilihan raya kerajaan tempatan pernah diadakan di George Town pada 1951,yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan.

Kata mereka Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Province Wellesley) 2012 pada 9 Meitahun lepas dan mewartakannya pada 5 Julai.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mendakwa enakmen yang baru diluluskan itu memberi kuasa legislatif secukupnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang dan oleh itu, SPR secara sah, diberi kuasa dan perlu mengendalikan pilihan raya kerajaan tempatan di negeri berkenaan.

Kerajaan Pulau Pinang, yang diterajui DAP, berusaha untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan, yang dimansuhkan pada 1 Mac 1965.

Setelah kedua-dua pihak selesai mengemukakan hujah, Mohd Raus menangguhkan keputusan mahkamah ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak. — Bernama

Advertisement