Anda di sini

Akuatik sandaran emas Sarawak

Advertisement

KATA-KATA SEMANGAT: Lee beramah mesra dengan atlet terjun Sarawak SUKMA XVII Perlis semasa lawatannya ke Pusat Kecemerlangan Akuatik, Jabatan Belia dan Sukan Kuching, malam kelmarin. — Gambar Chimon Upon

Kontinjen negeri sasar sekurang-kurangnya tujuh pingat emas pada SUKMA Perlis

KUCHING: Kontinjen Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh pingat emas dalam acara akuatik (renang dan terjun) pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XVII yang bakal berlangsung di Perlis, bulan depan.

Namun demikian, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin memberitahu sasaran utama akuatik adalah meraih 11 emas atau lebih seperti mana dicapai pada SUKMA lalu.

“Saingan kuat kita dalam acara akuatik pada tahun ini ialah daripada Selangor, Johor dan Kuala Lumpur kerana masing-masing mempunyai atlet peringkat antarabangsa.

“Namun, berdasarkan pencapaian atlet renang negeri yang terbukti cemerlang sebelum ini, kita yakin pasukan acara akuatik kita yang turut dibarisi atlet peringkat antarabangsa mampu memberikan saingan seterusnya memperolehi lebih (pingat) emas daripada yang disasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi lawatan ke Pusat Kecemerlangan Akuatik, Jabatan Belia dan Sukan di sini, malam kelmarin.

Lee memberitahu, beliau berasa amat bangga melihat kegigihan atlet renang dan terjun menjalani latihan mereka.

Namun begitu, katanya, Sarawak menaruh harapan tinggi terhadap para atlet renang dan terjun yang berprestasi tinggi untuk merealisasikan impian meraih banyak pingat nanti.

Lee menarik perhatian, selain Pusat Kecemerlangan Akuatik di sini, para perenang negeri turut menjalani latihan di Pusat Akuatik Nasional di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil.

“Saya yakin dengan latihan yang gigih para atlet renang kita mampu membuktikan kecemerlangan mereka pada SUKMA XVII,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Skuad Renang Sarawak Hii Hieng Chiong berkata senarai perenang mewakili negeri sudah dikeluarkan.

“Bagi pasukan lelaki, mereka ialah Welson Sim, Vernon Lee, Alex Tiong, Tang Chong Heng, Allister Chung, Roydon Ong, Ngu Jiung Wei, Nee Kui Ping, Ansong Go dan Tiong Huo Fatt.

“Manakala bagi pasukan wanita pula terdiri daripada Erika Kong, Angela Chieng, Annie Chieng, Nita Wong, Sarah Ann Throp, Leong Wan Ying, Cindy Sui, Tan Tyng, Rhona Lai dan Mandy Teo,” jelasnya.

Penyelaras Sukan Terjun Majlis Sukan Negeri Sarawak Jolene Leong pula memberitahu, atlet-atlet terjun Sarawak ke SUKMA XVII ialah Carlyse Chan Wee Chiek, Enrique Maccartney Harold, Kimberly Bong Qian Ping, Leo Ah Boon Daniel, Slyester Gaing Peter Jawa dan Tracia Irene Erik.

Acara akuatik SUKMA XVII Perlis akan berlangsung dari 28 Mei hingga 2 Jun dan menawarkan sebanyak 48 pingat emas untuk menjadi rebutan kontinjen-kontinjen yang bertanding.

Advertisement