Anda di sini

Pertuduhan Mejar Zaidi Ahmad dirujuk kepada Pihak Berkuasa Sidang TUDM

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tentera di sini semalam memerintahkan lima pertuduhan berhubung isu dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang dihadapi pegawai kanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad dirujuk kepada Pihak Berkuasa Sidang (PBS) TUDM.

Enam panel diketuai Yang Dipertua, Kolonel Saadoon Hassan, membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Zaidi, bahawa kelima- lima pertuduhan berkenaan adalah cacat.

Dalam penghakimannya, Saadon berkata mahkamah bersetuju bahawa pertuduhan pertama hingga kelima adalah cacat kerana pertuduhan itu tidak membawa maksud bahawa Majlis Angkatan Tentera adalah pegawai atasan kepada Zaidi mengikut Seksyen 2 Akta Angkatan Tentera 1972.

Saadon memerintahkan supaya kelima-lima pertuduhan itu dirujuk kepada PBS yang diketuai Panglima No 1 Div Udara, Mej Jen Dato’ Azizool Arif Abdul Ghani.

Bagaimanapun, bagi dua pertuduhan lain iaitu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur politik ketika PRU13 akan kekal didengar.

Saadon membuat keputusan itu selepas menerima hujahan pihak pendakwaan bahawa tiada kecacatan dalam pertuduhan keenam dan ketujuh itu.

“Sama ada pernyataan dalam SMS itu berbaur politik atau tidak akan dibuktikan oleh saksi-saksi yang akan dipanggil untuk memberi keterangan ketika perbicaraan nanti,” katanya.

Mahkamah menetapkan tiga hari bermula 10 Jun ini untuk perbicaraan kes itu.

Anggota panel lain ialah Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S.Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa TUDM, Mejar Ahmad Sanusi Ali, manakala peguam Nasar Khan dan Azhana Mohd Khairudin turut bertindak mewakili Zaidi.

Pada 7 Feb lalu, Zaidi dari Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dan dua pertuduhan menghantar SMS berbaur politik. — Bernama

Advertisement