Anda di sini

Penempatan tetap pasukan keselamatan di ESSZONE perlu

Advertisement

KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Laut Laksamana Abdul Aziz Jaafar berpendapat penempatan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) harus dibuat secara kekal bagi memastikan kawalan keselamatan yang berterusan.

Katanya beliau yakin kehadiran pasukan tentera dan polis secara tetap terutama di pulau-pulau peranginan dapat mencegah pihak tertentu daripada menceroboh dan melakukan jenayah terutama culik.

“Aktiviti pelancongan adalah satu sumber besar dan kita harus menentukan ia selamat dan tidak diganggu oleh mana-mana ancaman. Jadi kedua-dua pasukan keselamatan amat diperlukan secara tetap dan bukan sesekali bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di KD Sri Gombak di sini semalam mengulas kejadian culik membabitkan dua wanita termasuk seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef and Resort, minggu lepas.

Katanya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) juga akan meningkatkan kehadiran mereka di perairan ESSZONE.

Dalam kejadian jam 10.30 malam Rabu lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh resort itu dan melarikan Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai serta seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.

Mengulas perkembangan lain, Abdul Aziz berharap pembabitan kapal frigat TLDM, KD Lekiu dalam misi mencari dan menyelamat penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi dapat membantu anggota misi lain.

“Semangat semua anggota yang bertugas juga masih tinggi. Semalam, Menteri (Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah menghubungi mereka bertanyakan khabar dan ini memberikan mereka lebih semangat untuk menjalankan tugas,” katanya.

Abdul Aziz turut berterima kasih kepada kerajaan Australia dan Tentera Laut Diraja Australia atas kerjasama yang diberi kepada semua anggota TLDM yang menyertai operasi itu.

Terdahulu, Abdul Aziz menyaksikan upacara serah terima tugas membabitkan Asisten Ketua Staf Pentadbiran Markas Tentera Laut Laksamana Pertama Datuk Wah Yuen Mei dan Pengarah Perundangan Markas Tentera Laut, Pegawai Staff 1 Azhari Abdul Aziz.

Wah, 60, akan bersara wajib pada Oktober ini setelah berkhidmat selama 38 tahun dalam TLDM dan memegang rekod paling lama berkhidmat di Bahagian Pentadbiran Markas Tentera.

Azhari, 54, pula dinaikkan pangkat menggantikan Wah selain memangku jawatan sedia ada. — Bernama

Advertisement