Anda di sini

MPM pelawa Lim Kit Siang bekerjasama

Advertisement

Lim yang mencerca pendidikan di M’sia diajak desak kerajaan laksana satu sistem sahaja

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mengajak Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya bersama-sama dengan majlis itu mendesak kerajaan supaya melaksanakan satu sistem pendidikan di negara ini.

Setiausaha Agungnya Datuk Dr Hasan Mad berkata pelawaan itu dibuat selepas Lim menyuarakan kebimbangan berhubung prestasi pendidikan kebangsaan yang kononnya merudum berbanding pencapaian Singapura.

Lim mencerca Malaysia dan memuji Singapura berikutan Laporan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang meletakkan Malaysia di tangga ke-39 berbanding Singapura yang menduduki tangga teratas daripada 44 negara yang terlibat dalam penilaian itu, kata Dr Hasan dalam satu kenyataan.

Sambil berterima kasih dan mengucapkan tahniah kepada Lim kerana berani menyuara-kan perkara itu, Dr Hasan berkata MPM sependapat dengan Lim dalam perkara itu kerana kemerosotan prestasi pendidikan itu satu krisis nasional yang wajib ditangani dengan segera.

Justeru, MPM meng-ajak Lim untuk bersepakat mendesak Kerajaan Malaysia supaya meneladani Singapura dengan hanya melaksanakan satu sistem pendidikan di negara ini dan memansuhkan segera sistem pendidikan lain yang bukan aliran pendidikan nasional di Malaysia.

Pelawaan supaya Lim bersama-sama MPM mendesak kerajaan Malaysia meneladani Singapura melaksanakan satu sistem pendidikan nasional, kata Dr Hasan dibuatnya kerana Lim tidak menyatakan punca berlakunya krisis itu tetapi sekadar membandingkan prestasi pendidikan di Malaysia dengan di Singa-pura.

“Bila satu sistem pendidikan diamal guna, lebih mudah untuk melaksanakan dasar pelajaran yang ada serta dapat melaksanakan PPPM (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia) dengan lebih berkesan tanpa banyak halangan.

“Jika sebelum ini sistem dan dasar yang ada itu mampu membangunkan negara ini menjadi maju sepertimana yang kita lihat hari ini, tentunya dengan penyelarasan sistem pendidikan menjadi satu aliran sahaja, ia akan jauh lebih berkesan dalam melahirkan warganegara yang lebih cemerlang dan bernilai budaya murni,” kata beliau.

Dr Hasan berkata bahawa menurut Lim, Malaysia kononnya berundur ke belakang dalam prestasi pendidikan dan beliau telah menyalahkan sikap kerajaan sebagai punca krisis itu dan kononnya jalan keluar daripada kemelut itu ialah dengan menukar kerajaan sedia ada.

“Untuk menukar kerajaan hanya kerana satu krisis ini saja amat sukar. Jika Kit Siang serius mahukan perubahan sistem dilaksanakan segera, bukan kerajaan yang sepatutnya ditukar tetapi sistem pendidikan yang kini pelbagai (macam rojak) hendaklah ditukar,” katanya. — Bernama

Advertisement