Anda di sini

Limbang bersedia hadapi dua kejohanan berprestij

Advertisement

LIMBANG: Biarpun musim Ramadan bakal menjelang, persiapan pasukan Limbang tetap berjalan lancar dan serius untuk mempertahan kejuaraan Piala Isuzu bawah 19 tahun dan Piala Sarawak yang bakal berlangsung penghujung tahun ini.

Pengerusi Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA), Dr Abdul Rahman Ismail berkata Limbang bersedia mengibar cabaran pada dua kejohanan berprestij itu dengan membentuk pasukan mantap sepanjang Liga Limbang 2014 yang melabuhkan tirai April ini.

“Secara dasarnya Limbang sudah mempunyai pasukan terbaik dan berpengalaman untuk menghadapi Piala Isuzu dan Piala Sarawak, tetapi kita akan terus mengasah bakat pemain-pemain melalui Liga Limbang sekali gus menampilkan muka-muka baharu bagi menguatkan pasukan kita,” katanya di sini semalam.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Kota berkata, LFA turut mengalukan penyertaan pasukan lain untuk memberi saingan pada kejohanan itu dalam usaha memeriahkan sukan bola sepak tempatan.

Jelasnya, Limbang juga mempunyai strategi tersendiri untuk menghadapi dua kejohanan berprestij tersebut seperti juga dilakukan skuad bola sepak bahagian-bahagian lain.

Dalam pada itu, kursus kejurulatihan turut diadakan sepanjang Liga Limbang bagi melahirkan jurulatih-jurulatih bertauliah.

“Bakat yang ada tidak akan ke mana, tanpa bimbingan jurulatih berkaliber. Melalui jurulatih berpengalaman ini bakat pemain dapat dimaksimumkan di bawah bimbingan mereka,” katanya.

Dr Abdul Rahman turut optimis Liga Limbang 2014 yang memasuki edisi keenam berjalan dengan lancar berdasarkan pengalaman penganjuran liga sebelum ini.

“Kita pasti setiap pasukan komited dan tidak mendatangkan masalah, selain sambutan hebat daripada peminat sukan nombor satu yang sentiasa memberi sokongan,” tambahnya.

Beliau juga mahu setiap pasukan dan pemain akan terus bermain bersungguh-sungguh dan mengamalkan semangat berpasukan.

“Jadikanlah sukan di padang sebagai membanggakan dan bukannya sukan yang mendatangkan masalah dan bertandinglah atas semangat kesukanan tinggi,” katanya.

Advertisement