Anda di sini

Larian Taman Jubli mencabar

Advertisement

TAJAAN: Vincent (tengah) menyampaikan replika cek tajaan untuk Larian Marathon Kesihatan Sarawak Taman Jubli kepada Tang.

Ramai peserta luar negara bakal menyertai Larian Marathon Kesihatan Sarawak di Sibu

SIBU: Larian Marathon Kesihatan Sarawak Taman Jubli 2014 edisi ke-14 yang bakal berlangsung pada 4 Mei depan di Taman Jubli di sini berjaya menarik ramai penyertaan daripada peserta luar negara.

Pengerusi Kelab Sukan Marathon Extreme (KSME), Tang Kah Seng berkata peserta luar negara yang terbaharu berminat menyertai larian itu ialah dari negara Afrika.

“Kita telah menghantar borang penyertaan kepada mereka, namun masih belum mendapat pengesahan,” katanya selepas menerima tajaan sejumlah RM10,000 daripada Timbalan Pengarah Urusan KTS, Temenggung Vincent Lau di sini semalam.

Setakat ini beberapa peserta luar negara seperti Indonesia, Jepun, Brunei, New Zealand dan Semenanjung Malaysia telah mengesahkan penyertaan mereka.

“Penyertaan terbaik ini menjadikan larian tahun ini lebih meriah dan mencabar sekali gus membantu meletakkan Sibu dalam peta pelancongan negara,” jelasnya.

Tang turut menjangkakan seramai 2,000 peserta akan mengambil bahagian pada larian kali ini.

Larian ini dijangka dirasmikan oleh Pengerusi Kumpulan Ta Ann, Datuk Wong Kuo Hea pada jam 6 pagi sementara penutupan oleh Vincent Lau pada jam 9.45 pagi.

Larian ini dibahagikan kepada tujuh kategori iaitu Lelaki dan Wanita Terbuka 21km, Lelaki Veteran (48 tahun dan ke atas), Lelaki 7km dan Wanita 2.5km serta Remaja Lelaki dan Wanita.

Tarikh tutup penyertaan ialah pada 28 April ini.

Untuk pertanyaan boleh menghubungi Tang (019-8181129) Joseph Tang (019-8178232), Ngui Kiong (012-8881261), Wong Siew Ming (019-8354321) dan Sarkawi Adenan (011-29978867).

Larian ini dianjurkan bersama oleh KSME dan Majlis Perbandaran Sibu (MPS) serta dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bulan Sabit Merah Sibu.

Penaja utama larian ialah Ta Ann Holdings Bhd, Dato Wong Kuo Hea, KTS Trading Sdn Bhd, Temenggung Vincent Lau dengan penaja utama minuman, Milo dan V-Soy.

Advertisement