Anda di sini

Kumpulan dan syarikat tempatan lancar kumpulan sokongan dan tabung MH370

Advertisement

KUALA LUMPUR: Beberapa kumpulan dan syarikat Cina tempatan telah melancarkan ‘Kumpulan Sokongan MH370 China-Malaysia’ dan ‘Tabung Prihatin MH370’ bagi membantu keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang.

Pakar pelaburan hartanah Datuk Seri Gavin Tee berkata timbul persoalan tentang tidak begitu banyak perhatian diberi terhadap keperluan praktikal dan emosional keluarga 50 penumpang dan kru Malaysia dalam penerbangan malang itu.

Beberapa buah syarikat milik Tee berada di belakang kumpulan sokongan dan tabung tersebut.

Dewan Perdagangan Malaysia-China, Persatuan Kebudayaan Cina Malaysia dan M101 Property Tourism, serta iProperty Group menyatakan sokongan terhadap inisiatif itu.

“Dalam pada itu, kesan insiden MH370 terhadap hubungan bilateral Malaysia-China sedang dikaji.

“Rancangan dibuat bagi mempastikan kesinambungan hubungan bisnes dan persahabatan antara Malaysia dan China,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA, di sini semalam.

“Selain daripada keluarga penumpang dan kru, pihak lain yang cukup terjejas oleh insiden itu ialah rakyat Cina Malaysia yang merupakan pengendali utama bisnes dan perdagangan di China.

“Mereka faham bahasa dan budayanya, oleh itu akan dapat membantu memperbaharui hubungan antara kedua-dua negara,” kata beliau.

Tee, pengasas dan presiden SwhengTee International Sdn Bhd akan menganjurkan ceramah mengenai ‘Impak MH370 terhadap Pelancongan dan Hartanah di Malaysia’ pada 20 April di Auditorium Wisma MCA.

Pesawat MAS MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 kru menuju China, lenyap dari imbasan radar pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 pagi.

Sebanyak 154 penumpang adalah warganegara China. — Bernama

Advertisement