Anda di sini

Kes jenayah juvana di P.Pinang meningkat 231 peratus

Advertisement

GEORGE TOWN: Statistik jenayah melibatkan pesalah juvana termasuk yang masih bersekolah di Pulau Pinang meningkat 231 peratus dari Januari hingga 6 April lepas berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata peningkatan daripada 29 kes dalam tempoh itu tahun lepas kepada 96 kes tahun ini amat membimbangkan.

“Berdasarkan statistik, remaja berusia 15 hingga 18 tahun paling ramai terlibat dengan aktiviti jenayah berikutan terpengaruh dengan rakan dan sikap mahu memperoleh gaya hidup mewah,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu beliau merasmikan Program Bersama Cegah Jenayah bagi Sekolah Menengah Peringkat Pulau Pinang, di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini semalam. Turut hadir Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin dan Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Pulau Pinang Datuk Syed Jaafar Syed Ali.

Abdul Rahim berkata golongan pelajar sering kali terlibat dengan aktiviti gengsterisme dan segelintir daripada mereka melibatkan diri dalam kumpulan samun dan rompak serta akan direkrut untuk membuat jenayah lain.

Abdul Rahim berkata peningkatan ketara jenayah dalam kalangan juvana itu ialah melibatkan harta benda apabila 61 kes direkod tahun ini berbanding 14 kes tahun lepas manakala jenayah kekerasan mencatat 35 kes tahun ini berbanding 15 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

“Kes-kes jenayah terutama berkaitan kekerasan itu berlaku di dalam dan di luar sekolah dan polis perlukan kerjasama semua pihak untuk membendung kegiatan itu,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di peringkat sekolah akan diaktifkan semula dengan mengadakan beberapa aktiviti yang lebih berkesan untuk memberi kesedaran tentang pencegahan jenayah membabitkan pelajar.

“Setakat ini 128 sekolah di negeri ini mempunyai KPJ dan saya percaya dengan tertubuhnya kelab itu di semua sekolah, ahli kelab dapat membantu polis  mengumpul maklumat dan bekerjasama dalam menangani jenayah melibatkan  pelajar,” katanya. — Bernama

Advertisement