Anda di sini

‘Jambatan Persahabatan’ diyakini mampu rancakkan industri pelancongan Johor

Advertisement

BATU PAHAT: Cadangan pembinaan ‘Jambatan Persahabatan’ untuk menambah baik rangkaian jalan dan menjadi simbol persahabatan antara Malaysia serta Singapura diyakini mampu merancakkan industri pelancongan Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata pembinaan jambatan itu amat perlu bagi mengatasi kesesakan trafik di Tambak Johor yang dianggarkan menjadi laluan keluar masuk lebih 100 juta orang tahun lepas.

“Pembinaan jambatan itu nanti sudah tentunya mewujudkan pintu masuk baharu ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menutup program ‘Cabaran Interaktif Pengguna’ Kelab Pengguna Sekolah peringkat negeri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, semalam.

Cadangan pembinaan jambatan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin dalam sidang media bersama-sama Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong selepas kedua-dua mereka meng-akhiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura selama dua hari di Putrajaya.

Tee berkata ketika ini terdapat 14 pintu masuk ke Johor yang merangkumi Tambak Johor, Lebuh Raya Linkedua, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan 11 jeti.

Beliau berkata pihaknya dalam masa yang sama sedang berusaha menarik lebih ramai pengunjung ke Johor tahun ini termasuk mengadakan rundingan dengan sebuah syarikat penerbangan dari China bagi menambah pener-bangan ke negeri ini.

“Tahun lepas, kita sudah berjaya menarik syarikat penerbangan Citilink, Indonesia, untuk mengadakan penerbangan Surabaya-Se-nai-Surabaya dan kita harap rundingan dengan syarikat penerbangan dari China dalam jangka masa dua bulan ini akan membuahkan hasil,” kata Tee.

Dalam pada itu, beliau berkata keindahan pokok Tecoma yang sedang berbunga di kebanyakan tempat di ne-geri ini ketika ini dilihat amat berpotensi untuk menggamit kedatangan pelancong.

Beliau berkata usaha akan digiatkan untuk mempromosikan pokok berkenaan sebagai tarikan baharu pe-lancongan ke Johor setiap tahun. — Bernama

Advertisement