Anda di sini

Hakim tarik diri dengar rayuan polis berhubung award RM1.43j

Advertisement

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azahar Mohamed semalam menarik diri daripada mendengar rayuan dikemukakan polis terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memberikan award RM1.43 juta kepada seorang pesara bagi penahanan secara salah pada 1997.

Hakim Azahar, seorang daripada panel tiga hakim yang sepatutnya mendengar rayuan itu berkata beliau menarik diri kerana pernah memberikan arahan kepada seorang peguam kanan persekutuan berhubung penyediaan kenyataan pembelaan dalam perkara itu semasa beliau menjadi ketua bahagian sivil di Jabatan Peguam Negara pada 2001.

Hakim Datuk Abdul Wahab Patail, yang mempengerusikan panel itu berkata rayuan akan didengar pada tarikh lain oleh satu lagi panel tiga hakim tanpa Hakim Azahar.

“Kami mahu memastikan pendengaran yang adil dan saksama,” kata Hakim Abdul Wahab kepada Dickson Ng Sek Wah, yang mewakili dirinya sendiri.

Beliau turut menjelaskan kepada Ng kenapa mahkamah tidak dapat meneruskan prosiding rayuan semalam dan memberi jaminan kepadanya bahawa mahkamah akan mendengar rayuan itu secepat mungkin.

Hakim Abdul Wahab menetapkan Jumaat ini bagi pengurusan kes sebelum mengarahkan pendaftar Mahkamah Rayuan menetapkan pendengaran pada tarikh paling awal.

Ng, 63, menyaman lapan pegawai polis termasuk ketua polis negara dan kerajaan pada 2000, mendakwa dirinya mengalami kecederaan serius semasa ditahan.

Ng mendakwa telah ditahan untuk disoal siasat kerana mengimport sepucuk “ submachine gun’ dari Finland tanpa lesen sah.

Ng, yang ketika itu bekerja dengan sebuah syarikat penghantaran, mendakwa beliau hanya membantu sebuah syarikat untuk mengimport senjata api itu sebagai sampel bagi mengambil bahagian dalam tender terbuka Kementerian Dalam Negeri, bagi pihak polis.

Pada November 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pemberian award  RM1.43 juta kepada Ng. Polis dan kerajaan merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad dan Nur Aqilah Abdullah mewakili polis dan kerajaan. — Bernama

Advertisement