Anda di sini

Tiger FC rangkul Piala Awang Tengah

Advertisement

HEBAT: Dr Rahman (enam kiri) Awang Tengah, Maria, Paulus (lima kanan) dan Hasbi bersama pasukan Tiger FC di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.

LIMBANG: Pasukan Tiger FC muncul juara Kejohanan Piala Pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan selepas menjinakkan ABC Club dengan 2-1 pada perlawanan akhir.

Selain piala pusingan, mereka membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan dan pingat.

Manakala ABC Club menerima RM3,000, piala iringan dan pingat.

Sementara itu, pasukan ACJ dan SESCO terpaksa berkongsi di tempat ketiga bersama memenangi RM1,000, piala iringan dan pingat.

Sebanyak 12 pasukan dari sekitar bahagian ini berentap pada kejohanan itu bermula awal Mac lalu.

Pasukan tersebut ialah ABC Club, Awat-Awat Bersatu, Persatuan Melayu Limbang (PML), SESCO, Delima, Ransing, Tiger FC, LBA, Budak Pasir, Highlanders, ACJ dan Felda United.

Kejohanan Piala Pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan diperkenalkan buat pertama kali di wilayah utara negeri ini satu landasan terbaik ditunjukkan Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) mengangkat martabat bola sepak di sini.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kejohanan itu diyakini mampu mencungkil bakat-bakat pemain agar Bahagian Limbang yang pernah melakar nama dalam sukan berkenaan tidak berdepan ketandusan pemain-pemain berbakat.

Beliau berkata, walaupun terletak jauh di utara Sarawak namun kemampuan Limbang tidak boleh dipandang rendah kerana pernah melahirkan beberapa nama besar beraksi di pentas negeri dan negara sejak 70-an, 80-an dan 90-an.

“Kesungguhan LFA amat dikagumi dalam usaha mencungkil bakat-bakat baharu pemain dalam sukan bola sepak yang mempunyai ribuan peminatnya.

“Langkah ini penting agar kita tidak berdepan ketandusan pemain memandangkan Limbang juga merupakan ‘lubuk’ dalam melahirkan ramai pemain bertaraf bintang,” katanya pada Perlawanan Akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.

Hadir sama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Kota yang juga Pengerusi LFA, Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Limbang Maria Hasman, Walikota Majlis Daerah Limbang, Kaunselor Sufian Mohat, Timbalan LFA Alidin @ Brahim Tawar, Pemanca Alie Jahar dan jawatankuasa tertinggi LFA.

Awang Tengah turut optimis kejohanan sama boleh menjadi indikator dan penanda aras bermulanya kecemerlangan Limbang selepas memasuki semi final Piala Sarawak musim lalu dan terbaharu menjuarai Piala Isuzu 19 tahun.

“Ini matlamat kita untuk melahirkan dan menubuhkan pasukan terkuat membarisi skuad bola sepak tempatan yang bakal digeruni pasukan lain.

“Kita akan terus menyokong dari semasa ke semasa dalam mencapai hasrat dan matlamat untuk melahirkan lebih ramai bintang bola sepak yang harus dibanggakan,” katanya.

Advertisement