Anda di sini

Tidak siuman, amah bebas tuduhan bunuh majikan

Advertisement

IQ tertuduh amat rendah berbanding mereka yang sebaya

KOTA BAHARU: Seorang amah warga Indonesia semalam terlepas daripada hukuman mati atas dakwaan membunuh majikannya empat tahun lalu selepas Mahkamah Tinggi di sini memutuskan tertuduh tidak siuman.

Wilfrida Siok, 23, yang memakai kemeja petak merah jambu dan berseluar jeans menangis apabila mengetahui keputusan mahkamah dan kemudiannya dipeluk oleh beberapa wakil Kedutaan Indonesia dan badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir mendengar kes berkenaan.

Turut berada di mahkamah adalah Prabowo Subianto Djojohadikusumo, Pengerusi  Partai Gerakan Indonesia Raya (GERINDRA), antara pemimpin politik yang dicanangkan sebagai calon Presiden pada Pilihanraya Umum Presiden di Indonesia tahun ini.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim ketika membacakan penghakimannya selama hampir sejam di akhir pembelaan berkata, berdasarkan kepada keterangan pakar perubatan, tertuduh didapati tidak siuman ketika kejadian yang berlaku pada 7 Dis 2010.

“Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah kerana ketika kejadian tertuduh telah dibuktikan tidak siuman. Saya memerintahkan tertuduh agar dihantar ke institusi mental iaitu di Hospital Permai Johor Baharu sehingga saya selesai mengeluarkan laporan penuh,” katanya.

Pada 30 Mac tahun lepas, Wilfrida diperintah membela diri selepas mahkamah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Wilfrida didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu membunuh Yeap Seok Pen, 60, menggunakan senjata tajam di sebuah rumah di Kampung Chabang Empat Tok Uban, Pasir Mas antara jam 11 pagi dan 12.30 tengah hari, 7 Dis 2010.

Ketika kejadian, tertuduh baharu dua minggu bekerja di rumah mangsa.

Ahmad Zaidi berkata, keterangan Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Permai Johor Baharu, Dr Bada’iah Yahya dilihat lebih menyeluruh dan dapat diterima oleh mahkamah.

Dr Bada’iah dalam keterangannya menjelaskan tertuduh mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang sangat rendah berbanding mereka yang sebaya dengannya.

Penyakit sawan yang dihidapi Wilfrida juga boleh mempengaruhi tindakannya yang di luar kawalan, katanya.

Sementara itu Prabowo ketika ditemui selepas itu melahirkan rasa gembira dan syukur terhadap keputusan yang berpihak kepada Wilfrida.

“Saya terharu dengan keputusan itu dan ini adalah keadilan yang tepat  buatnya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, pihaknya akan menunggu laporan penuh penghakiman itu sebelum memutuskan membuat rayuan atau sebaliknya.

Sepanjang prosiding, Wilfrida diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Syed Ismat Syed Muhamad dan Tania Scivetti.

Sepanjang perbicaraaan, pendakwaan mengemukakan 26 saksi manakala pembelaan memanggil enam saksi. — Bernama

Advertisement