Anda di sini

Taklimat MH370 kepada pembangkang selepas jawatankuasa jalankan siasatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi taklimat berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kepada pembangkang selepas jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan selesai menjalankan siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan ketika ini sedang menumpukan usaha untuk memastikan pelaksanaan semua jawatankuasa yang ditubuhkan berada di tahap terbaik.

“Seperti mana yang telah diumumkan baru-baru ini, pelbagai jawatankuasa penyiasat telah ditubuhkan yang di bawah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar dan jawatankuasa peringkat antarabangsa antaranya Pasukan Teknikal khas ‘Next Of Kin Committee’; ‘Technical Comittee’; ‘Search Committee’; dan ‘International Working Group’.

“Oleh yang demikian pihak kerajaan berpendapat taklimat yang lebih menyeluruh hanya akan disampaikan setelah jawatankuasa-jawatankuasa ini menjalankan siasatan dan terdapat fakta-fakta baharu untuk diberikan penerangan,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di lobi Parlimen di sini semalam.

Beliau mengulas surat yang dihantar pakatan pembangkang kepadanya melalui Anggota Parlimen Seremban Loke Siew Fook, Rabu lepas, yang meminta kerajaan memberikan taklimat berhubung kehilangan MH370.

Dalam surat tersebut, Loke meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberikan taklimat itu dan mencadangkan tarikh taklimat pada hari ini (8 April).

Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam. Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari sama. — Bernama

Advertisement