Anda di sini

SSCO pastikan Sarawak miliki persatuan muaythai sendiri

Advertisement

KUCHING: Pejabat Suruhanjaya Sukan Sarawak (SSCO) berusaha sebaik mungkin untuk memastikan Sarawak memiliki persatuan muaythai sendiri pada masa akan datang.

Pesuruhjaya Sukan Sarawak, Lamat Nyalau berkata memang ada keperluan persatuan muaythai memandang sukan itu kian mendapat tempat di kalangan golongan muda negeri ini.

“Memang ada persatuan (muaythai) di Sarawak beberapa tahun lalu, tetapi dibatal pendaftaran November lalu disebabkan banyak penyelewengan dalam aktiviti persatuan,” katanya.

Menurutnya, peminat sukan muaythai di negeri ini perlu bersama-sama membantu membentuk persatuan muaythai negeri dengan mengikut garis panduan dan prosedur ditetapkan SSCO.

Katanya, untuk membentuk persatuan sukan negeri persatuan mestilah terlebih dahulu mempunyai empat ahli persatuan bersekutu.

“Saya sudah bercakap dengan beberapa pihak yang berminat membentuk persatuan muaythai negeri dan mereka diberi taklimat mengenai garis panduan dan prosedur,” ujarnya.

Selain itu, katanya, surat sokongan daripada badan peringkat kebangsaan juga diperlukan untuk membentuk persatuan sukan negeri.

“Kita akan membuat yang terbaik untuk mendapatkan surat (sokongan) daripada badan peringkat kebangsaan.

“Sekiranya badan peringkat kebangsaan gagal mengeluarkan surat (selepas dua minggu), SSCO akan meluluskan pembentukan badan sukan negeri tanpa surat sokongan,” katanya.

Keperluan membentuk persatuan muaythai negeri disuarakan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial, Affandi Keli beberapa minggu lalu.

Advertisement