Anda di sini

PM Singapura nyatakan simpati berhubung tragedi MH370

Advertisement

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, yang berada di sini sejak kelmarin untuk menghadiri Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima, menyatakan simpati berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Lee berkata negara berjiran itu, yang mengerahkan pesawat udara serta kapal laut untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat di Laut China Selatan dan Selat Melaka, sentiasa bersedia menghulurkan bantuan selanjutnya seperti yang diperlukan.

“Saya menyatakan simpati saya kepada perdana menteri, kepada keluarga penumpang dan kru pesawat MH370.

“Singapura turut membantu Malaysia dalam menghadapi tragedi ini. Kami menyertai SAR (Mencari dan Menyelamat) di Laut China Selatan dan Selat Melaka.

“Saya maklumkan kepada perdana menteri kami sentiasa bersedia untuk membantu Malaysia, juga dalam fasa penyiasatan yang berikutnya,” kata Lee pada sidang akhbar bersama rakan sejawatannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, bersempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kelima, di sini semalam.

Terdahulu, Najib mengucapkan terima kasih kepada Lee atas bantuan yang diberi Singapura dalam misi mencari dan menyelamat MH370, memandangkan republik itu merupakan antara negara pertama di rantau ini yang memberi bantuan dengan pantas.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk meneroka cara bagi kedua-dua pihak bekerjasama lebih rapat dengan negara anggota ASEAN dalam operasi SAR itu sejajar dengan Rangka Kerja Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN.

Penerbangan Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac lepas.

Operasi mencari pesawat itu diteruskan semalam di kawasan terpencil di Lautan Hindi setelah tiga isyarat denyut yang dikesan sejak Jumaat lepas yang mungkin mempunyai kaitan dengan kotak hitam pesawat berkenaan, masih belum disahkan. — Bernama

Advertisement