Anda di sini

Mahkamah terima dua laporan psikiatri Muhdalena

Advertisement

PUTRAJAYA: Mahkamah Seksyen di sini semalam menerima sebagai bahan bukti dua laporan psikiatri Muhdalena Ahmad yang menghadapi tuduhan dalam insiden mengamuk di pekarangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), dua tahuna lepas.

Hakim Mohamed Kamil Nizam membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menerima dua laporan itu yang disediakan oleh pakar Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Putrajaya, Dr Umi Adzlin Silim.

Dr Umi Adzlin merupakan pakar psikiatri pertama merawat Muhdalena ketika dia dirawat di Hospital Putrajaya selepas insiden itu.

Dalam keputusannya, Mohamed Kamil berkata perbicaraan itu akan mengalami kelewatan dan perbelanjaan yang tidak wajar untuk membawa Dr Umi Adzlin, yang sedang mengikuti latihan di Melbourne, Australia, untuk memberi keterangan.

“Saya mengambil pengikitirafan kehakiman bahawa ia akan mengambil masa enam jam penerbangan dari Australia ke Malaysia serta kos tiket penerbangan yang banyak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah akan memutuskan kepentingan dokumen tersebut di akhir perbicaraan.

Peguam M.Visvanathan, yang mewakili wanita berusia 29 tahun itu, telah memohon supaya dua lporan itu diterima sebagai bahan bukti yang mendedahkan keadaan mental anak guamnya.

Beliau juga memaklumkan kepada mahkamah beliau telah menutup kes peringkat pembelaan semalam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izhar membantah permohonan tersebut tanpa keterangan Dr Umi Adzlin, dengan menyatakan pihak pendakwaan akan dinafikan hak untuk melakukan periksa balas saksi.

Terdahulu, mahkamah mendengar keterangan Ketua Jabatan Psikitari, Hospital Putrajaya, Dr Azizul Awaluddin, 45, yang mengesahkan Dr Umi Adzlin sedang mengikuti latihan di Melbourne selama setahun, sejak 17 Feb lepas.

Pada 10 Jan lepas, Muhdalena, bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diperintah membela diri oleh Mahkamah Seksyen di sini terhadap empat pertuduhan.

Muhdalena dan Khalil Afendi Abd Hamid, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan. — Bernama

Advertisement