Anda di sini

Lee: Setiap aktiviti sukan perlu disertai masyarakat tempatan

Advertisement

MIRI: Setiap aktiviti sukan perlu disertai oleh masyarakat tempatan dalam usaha melahirkan komuniti sihat dan bebas penyakit, kata Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin.

Beliau berkata, tidak mengira jenis sukan, penyertaan masyarakat dalam bidang sukan mampu membudayakan masyarakat untuk mengamal gaya hidup sihat.

“Penyertaan komuniti dalam sukan bukan sahaja dapat membebaskan tubuh badan dari penyakit tetapi menggalakkan interaksi dan perpaduan di kalangan masyarakat,” katanya pada Majlis Perasmian Kejohanan Bola Sepak Piala Pusingan Datuk Lee Kin Shin di sini kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Senadin berkata, kerajaan sentiasa membuka ruang dan peluang kepada mana-mana agensi atau persatuan untuk menganjurkan program sukan.

“Sehubungan itu, komuniti setempat harus mengambil peluang untuk menyertai aktiviti sukan yang sedang berlangsung di kawasan mereka demi untuk kesihatan sejagat,” katanya.

Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam sebarang aktiviti sukan mampu mempertimbang daya tahan dalam tubuh badan seseorang.

“Sukan sebagai mana kita tahu dapat menggalakkan masyarakat terlibat secara langsung dalam gaya hidup sihat selain mengelak risiko serangan penyakit,” jelasnya.

Justeru, katanya, komuniti perlu melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan bagi membantu mereka aktif dan cergas menjalani kehidupan harian.

“Penglibatan komuniti dalam sukan sebenarnya dapat mengeratkan perpaduan dan integrasi di kalangan mereka pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Sebanyak 21 pasukan berentap pada pertandingan tersebut yang bermula kelmarin.

Advertisement