SRI AMAN: Laserlight VCF dari Kota Samarahan muncul juara Kejohanan Futsal Terbuka Piala ADUN Saribas, Mohamad Razi Sitam 2014 di Gelanggang Futsal 1Malaysia Debak, Betong.
Laserlight VCF berjaya menumpas STK Saratok dengan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua terikat 1-1 pada aksi final kejohanan tersebut.
Dengan kemenangan itu, Laserlight VCF membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000, piala iringan dan pingat.
Manakala STK Saratok, naib juara menerima wang tunai RM700, piala iringan dan pingat.
Tempat ketiga dimenangi Pelados FC dari Spaoh setelah mencatat kemenangan bergaya menumpaskan Ains FC dari Saratok dengan 3-0.
Sementara itu, Pelados FC membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 dan Ains FC meraih RM200, piala iringan serta medal.
Sebanyak 35 pasukan dari Kota Samarahan, Lubok Antu, Saratok, Spaoh, Debak, Sarikei, Bintangor, Kabong dan Betong menyertai kejohanan tiga hari itu.
Pengerusi pengelola, Saiful Hanizam Suhaini berkata jumlah penyertaan pasukan untuk kejohanan futsal kali ini menunjukkan peningkatan dan sekali gus membuktikan berlaku perubahan terhadap senario sukan futsal di Debak.
“Kami berharap kejohanan ini dapat menarik penyertaan pasukan handalan dari bahagian Kuching, Miri dan Sibu pada tahun akan datang,” katanya.
Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Saribas, Piee Alwi menyampaikan hadiah kepada pemenang.