Anda di sini

Genap sebulan berlalu, keluarga penumpang MH370 tetap berharap

Advertisement

BERDOA: Kelihatan pasangan suami isteri Tan Tuan Lay, 53, (kanan) dan Chew Kok Sia, 62, yang merupakan ibu bapa kepada salah seorang penumpang pesawat MH370, Chew Kar Mooi, 31, (gambar kecil) berdoa agar pencarian pesawat dilaporkan hilang itu ditemui dalam masa terdekat ketika ditemui di rumah mereka di Simpang Empat Kerpan, Ayer Hitam dekat Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Selepas 30 hari tanpa sebarang berita sahih, keluarga Chew Kar Mooi, seorang daripada 227 penumpang penerbangan MH370, tetap berharap wanita itu selamat ditemui.

Ibunya, Tan Tuan Lay, 53, berkata beliau dan suami Chew Kok Sia, 62, tabah menunggu perkembangan terkini mengenai pencarian pesawat selain berdoa agar pasukan mencari dan menyelamat menemui kesemua yang terbabit.

“Walaupun perit saya tetap menunggu kepulangan dia. Selagi tiada penemuan saya anggap anak saya selamat dan sekarang pun saya rasa dia masih hidup,” katanya yang ditemui di rumahnya di Simpang Empat Kerpan, Ayer Hitam dekat sini semalam.

Tan berkata rutin hariannya sejak kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu pada 8 Mac lepas ialah berdoa dan menonton televisyen bagi mendapatkan berita terkini berhubung pesawat tersebut.

Chew, 31, seorang pegawai bank di ibu negara menaiki penerbangan MH370 ke Beijing atas urusan kerja.

“Saya harap semua ini akan berakhir segera,” kata Tan sambil menatap foto anak perempuannya itu.

Wanita itu turut berterima kasih kepada kerajaan yang menyatakan komitmen untuk terus menjejaki MH370 sehingga pesawat tersebut ditemui.

Sementara itu Ibrahim Abdul Razak, bapa kepada pegawai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamad Sofuan, 33, ketika ditemui Bernama di rumahnya di Jalan Kota Tanah di sini belum bersedia untuk memberi kenyataan berhubung anaknya.

Bernama juga mendapati kediaman keluarga itu terus dikunjungi sahabat handai dan sanak saudara yang mahu memberi sokongan moral dan kata-kata semangat kepada Ibrahim sekeluarga.

Hari ini genap sebulan penerbangan MH370 hilang. Sehingga kini usaha pencarian yang ditumpukan di selatan Lautan Hindi gagal menemukan sebarang petunjuk sahih.

Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat dijadual mendarat di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama. — Bernama

Advertisement