Anda di sini

Ganjaran buat pelajar cemerlang dalam sukan

Advertisement

BAU: Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Pergerakan Singai Sarawak (Redeems) memberi ganjaran pelajar dalam komuniti tersebut yang cemerlang dalam bidang sukan bermula tahun ini.

Presidennya, Datuk Peter Nansian Ngusie berkata persatuan itu sebelum ini hanya memberi insentif kepada mereka cemerlang dalam pelajaran tetapi mulai tahun ini perkara sama diberikan kepada pelajar-pelajar berbakat dalam sukan.

“Ini kerana, kita mahu anak-anak kita menjadi baik bukan sahaja dalam akademik tetapi dalam bidang-bidang lain termasuk sukan. Ramai orang menyara hidup melalui sukan dan ini adalah apa yang kita mahu untuk mereka berbakat mendapatkannya.

“Siapa tahu satu hari nanti kita akan menghasilkan ahli-ahli sukan bertaraf dunia dan olahragawati negara seperti ratu sukan terjun negara, Pandelela Rinong,” katanya.

Nansian yang juga Menteri Muda Pembangunan Masyarakat berkata demikian selepas menerima tajaan berjumlah RM15,000 daripada Kumpulan Syarikat Lea di Pusat Redeems di sini oleh Pengarah Urusan Lea, Raymond Sim.

Menurut Nansian, Redeems menggalakkan belia-belia untuk mengambil bahagian secara aktif dalam sukan dan permainan supaya dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti sihat walaupun mereka mungkin tidak dapat mewakili negeri atau negara.

Katanya, mereka akan cuba yang terbaik dalam menyediakan jenis semua kemudahan sukan di kawasan Singai serta orang ramai ingin menggunakannya.

“Kami sudah mempunyai infrastruktur asas dan apa yang kita lakukan sekarang adalah menaik taraf kemudahan sedia ada.

“Ini penting dan kami percaya banyak syarikat dan individu-individu bersedia menyumbang dalam perjuangan kita sebagai tanggungjawab sosial korporat, “ katanya.

Beliau menjelaskan, penajaan itu adalah untuk futsal dan bola sepak kejohanan Redeems yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kami perlu menganjurkan acara seperti ini secara lebih kerap untuk menarik minat anak-anak muda dan diharapkan mereka mampu mewakili negeri dalam sukan futsal atau bola sepak peringkat kebangsaan,” katanya.

Advertisement