Anda di sini

Dua lagi isyarat denyut dikesan semasa operasi mencari MH370

Advertisement

PERTH: Sebuah kapal Australia yang melakukan pencarian pesawat Malaysia yang hilang di selatan Lautan Hindi mengesan dua kali isyarat denyut pada Ahad malam, kata Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) di sini semalam.

Ketua Penyelaras JACC Ketua Marsyal Udara (B) Angus Houston berkata isyarat pertama yang dikesan oleh Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield merekodkan selama dua jam dan 20 minit dan isyarat kedua, 13 minit.

“Dipercayai isyarat itu datang daripada dua sumber – perakam data pesawat dan  perakam suara kokpit – dan ia adalah petunjuk yang memberi harapan baharu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bagaimanapun masih terlalu awal untuk mengesahkan isyarat itu memandangkan Ocean Shield masih lagi menyiasat lokasi sebenar sumber isyarat itu, menggunakan alat pengesan isyarat yang ditunda, kata Houston.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa berada di kawasan Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada  12.41 tengah malam 8 Mac. — Bernama

Advertisement