Anda di sini

92 bekalan perubatan Hospital Tentera Tuanku Mizan tidak patuhi peraturan

Advertisement

KUALA LUIMPUR: Perolehan 92 bekalan perubatan pakai buang (BPPB) di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan di sini tidak mematuhi peraturan kewangan ditetapkan.

Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013, Siri 1 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati penghantaran BPPB melalui 92 nota hantaran telah dilakukan secara terus daripada pembekal kepada Jabatan Bedah tanpa melibatkan Stor Perubatan sepertimana ditetapkan.

“Penerimaan peralatan ini telah ditandatangani Pegawai Penyelia dan pegawai lain di Dewan Bedah. Semakan Audit mendapati tidak ada bukti pegawai tersebut diberi kuasa untuk menerima peralatan yang dibekalkan dan menandatangani dokumen penerimaan.

“Memandangkan proses perolehan yang tidak mengikut prosedur ditetapkan, Audit mendapati nota hantaran yang dikemukakan oleh pembekal tidak mempunyai nombor pesanan kerajaan.

“Mengikut penjelasan pe-gawai terlibat di hospital tersebut, permohonan dibuat melalui panggilan telefon dengan alasan keperluan mendesak. Ketiadaan nombor pesanan ini menyukarkan semakan terhadap pembayaran oleh Unit  Belanjawan,” menurut laporan itu.

Lantaran itu, Audit tidak dapat memastikan sama ada bekalan tersebut telah dibuat malah tidak dapat diketahui kos yang terlibat dan lokasi penyimpanan peralatan ter-sebut.

Selain itu, Audit turut mendapati peralatan yang dibeli masih belum digunakan atau belum digunakan secara optimum ditambah wujud peralatan perubatan pakai buang telah tamat dan akan tamat tempoh penggunaannya pada Jun 2014.

Ia juga mendapati Wad Burn and Nuclear Biological and Chemical dan Wad Female Multi Dental, Opthalmology belum beroperasi walaupun hospital tersebut mula menjalankan perkhidmatannya pada 2009.

“Wad yang tidak beroperasi ini menyebabkan peralatan seperti katil, tilam dan Central Monitoring System bagi memantau pesakit tidak digunakan,” menurut laporan itu.

Audit turut mendapati kelengkapan yang ditempat-kan di ruang jururawat telah rosak.

Laporan itu turut menyebut penerimaan peralatan per-ubatan di HAT Tuanku Mizan dan HAT Wilayah Kota Kinabalu tidak diuruskan dengan sempurna.

Semakan Audit mendapati tiada ruang disediakan dalam Borang Permohonan Perolehan untuk menunjukkan baki semasa stok dalam simpanan.

Audit berpendapat setiap perolehan dan penerimaan BPPB dibuat mengikut pro-sedur kewangan daripada kawalan dalaman yang berkuat kuasa bagi mengelakkan berlakunya stok berlebihan dan pembaziran akibat stok tamat tempoh.

Audit turut mengesyorkan rekod Kad Stok (BATL) HAT Tuanku Mizan perlu dikemas kini dengan segera bagi meningkatkan sistem pengurusan inventorinya dan menentukan tahap keperluan sebenar. — Bernama

Advertisement