Anda di sini

Setiap bot memasuki perairan Semporna disaran diperiksa rapi

Advertisement

TAWAU: Seorang aktivis masyarakat peribumi Sabah mengesyorkan setiap kapal dan bot yang digunakan oleh orang Pala’u yang memasuki perairan Semporna diperiksa secara teliti dan menyeluruh bagi memastikan ia tidak membawa senjata api.

Salman Nurillah berkata sudah tiba masanya pasukan keselamatan melakukan transformasi dari segi kawalan keselamatan iaitu bukan sahaja memberi tumpuan ‘orang yang memasuki negeri itu secara haram’ tetapi juga barangan yang dimuatkan dalam kapal atau bot.

“Kita tidak boleh leka dalam hal ini. Kes penculikan terbaru di sebuah pusat peranginan atas air, Singamata Adventures Reef and Resort oleh sekumpulan lelaki bersenjata sudah cukup memberi pengajaran kepada kita.

“Mungkin juga senjata api berkenaan diseludup terlebih dahulu menggunakan kapal atau bot biasa sebelum penculik melancarkan jenayah rentas sempadan itu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam mengulas kes penculikan di resort Singamata, dekat pekan Semporna malam Rabu lepas.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, seorang pelancong wanita rakyat China, dari Shanghai, Gao Hua Yuan, 29, dan seorang pekerja wanita resort itu warga Filipina, Marcy Dayawan atau Mimi, 40, dilapor diculik tujuh lelaki bersenjata.

Salman turut menyokong cadangan supaya Peguam Negara segera mengkaji kemungkinan memberi kuasa tambahan yang sesuai kepada Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Beliau berkata langkah itu penting dalam usaha meningkatkan lagi keberkesanan ESSCOM dalam mempertahankan kedaulatan dan menjaga keselamatan rakyat negeri ini khususnya di Zon Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSZONE).

Salman berkata penubuhan ESSCOM pada 1 April tahun lepas setakat ini berjaya memastikan tiada lagi pencerobohan pengganas Sulu yang baharu.

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna. — Bernama

Advertisement