Anda di sini

Pengembara Kazakhstan singgah di Malaysia promosi EXPO 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pengembara Kazakhstan, Sapar Iskakov yang dalam misi mengelilingi dunia dalam tempoh 120 hari menaiki kapal layar Queen Elizabeth 6, singgah di ibu negara semalam.

Kembara itu bertujuan mempromosikan EXPO 2017, pameran antarabangsa mengenai pergerakan hijau global yang dijadualkan dari Jun hingga September 2017 di Astana, ibu negara Kazakshtan.

Menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang membangun dengan pantas susulan kestabilan politik dan ekonominya, Iskakov, 73, berkata ekspedisi itu turut bertujuan memikat rakyat Malaysia mengunjungi Kazakhstan yang agama utamanya juga Islam.

“Jika saya berjaya menarik seorang pelawat dari sini ke Kazakhstan, ini bermakna saya juga menyumbang kepada pembangunan pelancongan negara saya,” kata tokoh dermawan itu dalam sidang media di Kedutaan Kazakhstan di sini.

Warga emas yang tiga kali dinobat sebagai ‘Tokoh Kazakhstan’ itu turut melahirkan harapan negaranya akan mencontohi Malaysia dalam usaha membangunkan sektor pelancongan sambil melindungi persekitaran hijau.

Semalam merupakan hari ke-90 misinya yang meliputi 26 negara dan Malaysia ialah negara ke-16 yang disinggahi selepas memulakan perjalanan pada 10 Feb lepas di London.

Beliau dijangka menamatkan perjalanan di London pada 10 Mei ini.

Bertemakan ‘Future Energy’ (Tenaga Masa Hadapan), EXPO 2017 dijangka menerima lebih lima juta peserta dan pelawat dari lebih 10 badan antarabangsa dan 100 negara. — Bernama

Advertisement