Anda di sini

Kumpulan penculik hubungi keluarga pelancong China

Advertisement

KOTA KINABALU: Kumpulan penculik yang menceroboh dan melarikan seorang pelancong China di sebuah resort atas air, Singamata Adventures Reef and Resort di Semporna, telah pun menghubungi keluarga wanita itu Jumaat lepas.

Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Mohammad Mentek mengesahkan perkara itu namun tiada sebarang tuntutan yang dibuat setakat ini.

“Keluarga mangsa itu sendiri telah diberi peluang bercakap dengan mangsa culik berkenaan melalui telefon. Kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sihat dan selamat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak ESSCOM akan melancarkan operasi pemeriksaan ke atas chalet di pusat peranginan sekitar Semporna dalam masa terdekat bagi memastikan tiada pekerja asing di kawasan Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE).

Mohammad berkata ESSCOM, yang dianggotai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menambah kekuatan aset di Semporna bagi mengawal keadaan di kawasan itu.

“Kita akan menambah sebanyak kira-kira 30 peratus kekuatan aset kita yang membabitkan semua agensi dan digerakkan di perairan kawasan Semporna namun kita tidak mengabaikan soal keselamatan di kawasan lain di ESSZONE,” katanya.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 10.30 malam Rabu lepas, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menceroboh resort berkenaan dan melarikan Gao Hua Yuan, 29, dari Shanghai serta seorang pekerja resort warga Filipina, Marcy Dayawan, 40.

Pada Jumaat lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib dilapor berkata polis menahan empat individu, termasuk tiga wanita, bagi membantu siasatan kes penculikan itu. — Bernama

Advertisement