Anda di sini

KPWKM sasar 3,000 PERWANI ditubuh di Sabah tahun ini

Advertisement

BEAUFORT: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyasarkan 3,000 Perkumpulan Wanita (PERWANI) dapat didaftarkan di Sabah pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun berkata Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) Sabah akan mengadakan siri jelajah sepanjang bulan ini sehingga Mei di beberapa daerah iaitu Tawau, Sempurna, Lahad Datu dan Sandakan bagi mencapai sasaran itu.

“Selain siri jelajah ini, PERWANI juga boleh menggunakan media sosial untuk mempercepat jaringan hubungan antara anggota kumpulan yang lain di seluruh negara khususnya di Sabah,” katanya kepada pemberita sempena majlis pentauliahan komuniti Perwani 1Malaysia peringkat negeri Sabah di Dewan Pa’Musa di sini semalam.

Azizah yang juga ahli Parlimen Beaufort berkata sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas, 5,311 PERWANI ditubuhkan dengan jumlah anggota 70,671 orang di seluruh negara termasuk 430 PERWANI di Sabah dengan anggota 7,000 orang.

Beliau menyarankan pegawai wanita yang bekerja di setiap jabatan di Sabah menubuhkan PERWANI termasuk wanita yang tidak bekerja mahupun yang masih belajar boleh menubuhkan kumpulan mereka sendiri.

Azizah berkata PERWANI terbuka kepada wanita yang berumur 18 tahun ke atas yang boleh dianggotai 10 sehingga 20 orang bagi setiap kumpulan.

“Untuk menjadi anggota, borang permohonan boleh didapati menerusi Portal MyWanita atau di JHEWA. Dengan adanya PERWANI, ia akan dapat membantu menyalurkan maklumat khususnya bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai dasar dan hala tuju kerajaan yang memanfaatkan kerajaan,” katanya.

Pada majlis itu, ‘Peace Lady’ atau dikenali sebagai Amanita, sebuah unit khas yang diperkenalkan polis bagi daerah Beaufort antara PERWANI yang baharu mendaftar.

Pada majlis itu 100 PERWANI dari seluruh negeri ditauliahkan antaranya PERWANI Sinar Baru, PERWANI Harapan, PERWANI Bunga Raya dan PERWANI Seroja. — Bernama

Advertisement