Anda di sini

Ketua komuniti digalak tubuh pusat rehabilitasi

Advertisement

Kementerian boleh menyediakan perkhidmatan kepakaran  

KUALA TERNGGANU: Kementerian Kesihatan menggalakkan ketua komuniti menubuhkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia (PR1M) di kawasan masing-masing bagi membantu mengurangkan kesesakan di hospital dan poliklinik di negara ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kementerian bersedia menyediakan perkhidmatan kepakaran di PR1M bagi pesakit strok atau angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan sebagainya.

Katanya, PR1M dibangunkan oleh ketua komuniti dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan peralatan namun penubuhan pusat seperti itu bergantung kepada inisiatif ketua komuniti di sesuatu kawasan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat PR1M yang pertama negara ini di Seberang Takir dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Pengarah Kesihatan negeri Terengganu Datuk Dr Anwa Sulaiman.

Dr Noor Hisham berkata kementerian mahu galakkan penubuhan PR1M bukan sahaja di peringkat daerah tetapi juga negeri dan seterusnya hingga ke peringkat kebangsaan.

Beliau berkata ini kerana PR1M adalah satu konsep strategi lautan biru yang bagus kerana mewujudkan kerjasama antara kementerian dengan komuniti setempat.

“Kita mahu perkhidmatan kita kembali ke komuniti atau ke rumah di mana doktor daripada hospital bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sukarelawan yang lain ke PR1M atau rumah pesakit untuk memberi rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif dalam ucapannya, berkata misi PR1M adalah bagi memudahkan aksesibiliti masyarakat kepada perkhidmatan rehabilitasi.

Katanya ia juga memberi kepuasan yang menyeluruh melalui perkhidmatan rehabilitasi dalam komuniti yang berkualiti, beretika, cekap dan profesional dalam memenuhi keperluan dan ekspektasi pelanggan.

Pusat itu, yang membabitkan kos kira-kira RM350,000, telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mei tahun lepas dan ia mula beroperasi pada April 2013. — Bernama

Advertisement