Anda di sini

Hishammuddin bersandarkan hubungan baik untuk mencari MH370

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lawatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ke Hawaii di tengah-tengah krisis kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370, baru-baru ini dilihat berjaya mencapai objektifnya, ibarat peribahasa Melayu, sambil menyelam minum air.

Beliau bukan sahaja dapat mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada Menteri Pertahanan ASEAN termasuk Amerika Syarikat (AS) di Honolulu, malah mengambil kesempatan itu untuk memaklumkan kepada mereka mengenai perkembangan terkini dalam pencarian pesawat Malaysia yang hilang sejak 8 Mac.

Menteri Pertahanan Malaysia itu yang secara meluas dianggap sebagai ‘wajah carian MH370” benar-benar ikhlas dengan ucapan terima kasih beliau terhadap bantuan yang dihulurkan kepada Kuala Lumpur dalam operasi pencarian pesawat yang melibatkan pelbagai negara, yang kini tertumpu di selatan Lautan Hindi.

Keakraban antara Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan dan menteri-menteri lain jelas kelihatan di Honolulu dengan mereka saling berinteraksi mesra antara satu sama lain dalam pelbagai perbincangan di Forum Pertahanan Amerika Syarikat-ASEAN pertama yang diusahakan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Chuck Hagel.

Seorang pemerhati berkata Malaysia dapat mengumpulkan banyak negara di rantau Asia Tenggara dan negara lebih jauh seperti Amerika Syarikat, Perancis, Australia, India, China dalam usaha untuk mencari MH370, berikutan Kuala Lumpur, hakikatnya rakan kepada semua orang.

“Dengan Malaysia, apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapatkan,” katanya mengenai pengendalian Malaysia dalam hubungannya dengan negara-negara lain.

Pesawat Malaysia Boeing 777-200ER ke Beijing membawa 277 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang pada 8 Mac di Laut China Selatan setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac, 17 hari selepas kehilangan pesawat MAS penerbangan MH370 “berakhir di selatan Lautan Hindi”.

Operasi membabitkan pelbagai negara bagi mencari MH370 itu bermula di Laut China Selatan sebelum diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman. Analisis data satelit menunjukkan bahawa pesawat itu terbang menuju ke arah selatan Lautan Hindi, lokasi di mana carian terus dijalankan.

Walaupun tuduhan yang diterima sebaliknya, Malaysia terus teguh mengatakan bahawa ia tidak menyembunyikan apa-apa dan begitu telus dalam mengendalikan pesawat penumpang yang hilang itu.

Sidang media diadakan secara kerap untuk mengemas kini pihak media – juga diperluaskan kepada dunia – mengenai pencarian MH370 dengan pegawai rakyat Malaysia dihantar ke Beijing untuk melakukan perkara yang sama kepada anggota keluarga penumpang warga China.

Daripada 227 penumpang pesawat berkenaan, 153 adalah warga China.

Di Honolulu, menteri pertahanan ASEAN menyokong Malaysia dalam perkara ini dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada akhir forum pertahanan yang bermula dari 1 hingga 3 April.

“Kami percaya bahawa Malaysia telah melakukan yang terbaik dalam mengendalikan keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini melihat semata-mata kepada skala operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang terbesar dan paling kompleks pernah kami lihat,” kata mereka.

Menteri-menteri berkenaan menegaskan bahawa perpaduan negara ASEAN kekal kukuh dan 10 negara anggota kumpulan negara Asia Tenggara benar-benar komited untuk membantu Malaysia dalam menyelaraskan operasi besar-besaran SAR bagi mengesan MH370.

Hagel sendiri secara jelas menyokong komitmen AS untuk terus memberi sokongan kepada operasi mencari dan menyediakan apa sahaja aset yang perlu.

Kepentingan Setiausaha Pertahanan AS untuk tinggal di Hawaii walaupun terpaksa berurusan dengan insiden tembakan beramai-ramai di pangkalan tentera AS di Fort Hood, Texas yang mengakibatkan empat terbunuh dan 16 cedera, jelas tidak mengetepikan Hishammuddin dan ASEAN.

“Ia menggambarkan sejauh mana penekanan Setiausaha Hagel terhadap ASEAN,” kata Hishammuddin merujuk kepada pegawai pertahanan atasan AS itu.

ASEAN terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Di Honolulu juga, Hishammuddin mendapat pengesahan dari rakan sejawatannya dari United Kingdom, Philip Hammond bahawa Kapal Selam Nuklear British, HMS Tireless telah menyertai misi pencarian pesawat penerbangan MH370.

Menteri Malaysia itu terbang pulang dengan hati yang tenang dalam pengetahuan bahawa Kuala Lumpur mempunyai ramai kawan yang boleh diharapkan ketika waktu, ia sangat memerlukan bantuan. — Bernama

Advertisement