Anda di sini

Habuan RM125,000 jadi rebutan

Advertisement

LUMAYAN: Abdul Wahab (empat kanan) menunjukkan gambar medal yang bakal dimenangi peserta menamatkan larian nanti.

Kuching Maraton 2014 menawarkan hadiah wang tunai yang lumayan kepada peserta

KUCHING: Kuching Maraton 2014 yang merupakan acara larian tahunan terbesar di Sarawak menawarkan hadiah wang tunai lumayan kepada peserta tempatan mahupun dari luar negara.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahab Abang Julai berkata jumlah kesemua wang tunai bagi pemenang larian diadakan pada 17 Ogos nanti di Padang Merdeka, Kuching adalah sejumlah RM125,000.

“Dalam usaha kita mempromosikan kecantikan bandar raya ini, Kuching Maraton adalah landasan terbaik menyediakan peluang kepada rakyat Sarawak mahupun dari luar pergi ke sini untuk turut serta dalam acara yang sehebat ini,” katanya pada majlis pelancaran ‘vest’ pelari maraton di sini semalam.

Wahab menjelaskan, bagi kategori maraton penuh terbuka sejauh 42 kilometer (KM) lelaki dan wanita, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang wang berjumlah RM15,000, tempat kedua RM7,500, ketiga RM4,000, keempat RM2,000, kelima RM1,000 dan keenam pula RM500.

Katanya, bagi tempat ketujuh dan kelapan juga bakal menerima wang tunai RM450, kesembilan dan kesepuluh RM350.

“Kategori veteran dan kebangsaan maraton penuh (lelaki dan wanita) sejauh 42KM pula menawarkan wang tunai RM4,000 kepada pemenang, manakala tempat kedua dan ketiga pula masing-masing akan memperolehi RM2,000 dan RM1,000,” tambahnya.

Malah, beliau memberitahu kategori lain iaitu maraton separuh (21KM), larian 10KM dan 5KM juga menawarkan wang tunai yang lumayan kepada pemenang.

“Selain wang tunai, kita juga memberi pingat kepada peserta yang berjaya menamatkan larian mereka,” katanya.

Peserta yang membuat pendaftaran awal iaitu dari tempoh 1 Mac hingga 31 Mei bagi kategori 42KM, yuran RM90, 21KM (RM70), 10KM (RM60) dan 5KM (RM40).

“Bagi pendaftaran dari 1 Jun hingga 30 Jun yuran bagi setiap kategori akan naik sebanyak RM10,” jelasnya.

Sementara itu, Abdul Wahab turut meminta orang ramai ingin menjadi sukarelawan bagi menjayakan maraton itu boleh membuat pendaftaran menerusi laman sesawang rasmi di www.marathonkuching.com.

“Kuching Maraton 2014 bermula jam 4 pagi yang akan bermula dan tamat di Padang Merdeka dan orang ramai dipelawa menyertai dan menonton maraton ini,” katanya.

Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran orang ramai boleh melayari laman sesawang www.marathonkuching. com.

Advertisement