Anda di sini

BiFA dan RTM Bintulu anjur Street Soccer

Advertisement

BINTULU: Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bintulu menganjurkan Kejohanan Street Soccer sempena Promosi Piala Dunia FIFA Brazil 2014 dalam Karnival Berambeh Bintulu bermula pada 12 dan 13 April di tapak Lapangan Terbang Lama di sini.

Setiausaha Kehormat BiFA, Mohd Zaifulfadillah Junaidi berkata, penyertaan pasukan dalam pertandingan itu adalah terhad untuk 32 pasukan lelaki sahaja.

Beliau berkata, beberapa acara sampingan lain turut diadakan antaranya acara menimang bola secara bebas selama dua minit dan satu lawan satu sepakan penalti.

“Dua acara itu (menimang bola dan sepakan penalti) akan dikendalikan oleh Skuad 1Malaysia dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK),” katanya di sini semalam.

Menurutnya, borang penyertaan pertandingan boleh diambil di pejabat RTM Bintulu atau menghubungi beliau sendiri di talian 017-8537727.

Selain itu, pada 11 April penerbit sukan RTM mengesahkan akan menyediakan skrin besar untuk penduduk Bintulu di tapak karnival Lapangan Terbang Lama di sini untuk siaran langsung perlawanan Liga Super antara Sarawak dan Terengganu sekitar jam 8.45 malam.

Katanya, pasukan sorak turut dipelawa hadir bagi memeriahkan suasana pada malam itu.

Acara itu adalah mempromosikan RTM mendapat hak penyiaran Piala Dunia FIFA Brazil 2014 yang bakal berlangsung pada Jun depan.

Advertisement