Anda di sini

Terdapat 2,500 hingga 3,000 orang utan di Sarawak

Advertisement

KUCHING: Antara 2,500 hingga 3,000 orang utan terdapat di negeri ini dan di Pusat Hidupan Liar Semenggoh sahaja terdapat 27 ekor yang mana 15 daripadanya lahir melalui usaha perlindungan oleh Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Ketua Warden Hidupan Liarnya Oswald Braken Tisen berkata, selain usaha membiak orang utan yang merupakan spesies terancam pihaknya turut melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan hidupan liar sentiasa dilindungi di negeri ini.

“Kebimbangan utama kami pada hari ini adalah perdagangan haram hidupan liar di Sarawak.

“Justeru, kami berusaha mendidik masyarakat mengenai kesan buruk kegiatan ini kepada diri mereka dan generasi pada masa akan datang,” katanya semasa sambutan Hari Hidupan Liar Sedunia semalam.

Oleh yang demikian jelasnya, SFC telah mewujudkan Swift Wildlife Action Team (SWAT) bagi mengenal pasti kawasan panas dan ia telah berjaya menghalang kegiatan haram tersebut.

Selain itu Oswald menambah, pihaknya turut dibantu oleh renjer kehormat hidupan liar, sukarelawan yang menjadi mata dan telinga dalam menentang aktiviti haram.

“Sehingga Januari tahun ini, seramai 30 orang lagi renjer kehormat hidupan liar telah dilantik bagi menjaga kawasan Sungai Asap.

“Selain itu, kami turut memperkenalkan program Nature NU bagi mendidik generasi muda supaya sentiasa menyayangi dan menjaga alam sekitar dan hidupan liar.

“Nature NU merupakan kem tiga hari dua malam yang dianjurkan setiap tahun di kawasan berlainan di negeri ini,” jelasnya selain program lain dengan kerjasama Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) dan TRAFFIC.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis, Oswald menjelaskan bahawa kerajaan telah membina tiga bangunan di Nanga Delok, Batang Ai bagi tujuan penyelidikan orang utan.

Menurutnya, ia merupakan usaha kerajaan bagi projek ‘Heart of Borneo’ yang menempatkan penyelidik dari dalam dan luar negara untuk menjalankan penyelidikan terhadap hidupan liar khasnya orang utan.

 

Advertisement