Anda di sini

RM2 juta untuk naik taraf kemudahan di Sebuyau

Advertisement

SEBUYAU: Penduduk kampung di kawasan Sebuyau bakal menikmati suasana hidup yang lebih selesa apabila kerajaan negeri meluluskan RM2 juta untuk menaik taraf kemudahan di situ.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau Datuk Julaihi Narawi berkata, antara projek yang dijalankan adalah naik taraf jalan, masjid, dewan masyarakat termasuk pembinaan padang futsal di Kampung Sungai Ladong.

Dalam lawatan sehari ke kawasannya pada Jumaat lepas, Menteri Muda Kemajuan Luar Bandar itu turut memberitahu bahawa empat jeti baharu akan dibina melibatkan kos berjumlah RM300,000.

Beliau menjelaskan bahawa pembinaan bagi sebuah jeti dijangka menelan kos sebanyak RM75,000 yang akan dibina di Kampung Sampat, Sebangan, Seberang Sebuyau dan Sebuyau.

Antara projek lain adalah Masjid Kampung Sebanga, Masjid Darul Kurnia Jalan Sawmill dan Masjid Kampung Seruyuk dengan peruntukan sebanyak RM100,000 (setiap masjid) selain pembinaan dewan masyarakat di Kampung Sampat yang menelan kos RM200,000.

Bagi Kampung Singai Ladong, penduduk di situ bakal memiliki padang futsal yang menelan kos sebanyak RM100,000 dan dewan masyarakat (RM30,000).

Pada masa sama, beliau berkata sebanyak RM680,000 juga telah diluluskan untuk menaik taraf dewan masyarakat di pasar Sebuyau manakala RM200,000 untuk Jalan Pintasan Sebuyau dan RM400,000 lagi untuk Jalan Lubok Manta.

“Saya berharap rakyat di kawasan ini dapat bekerjasama untuk memastikan projek pembangunan yang kami jalankan itu dapat berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Advertisement