Anda di sini

Pertanian terus diperkasa

Advertisement

BERBAKAT: Awang Tengah menunjukkan kebolehan mengacau ‘ambuyat’ pada program tersebut.

Tingkat taraf hidup masyarakat luar bandar yang bergantung kepada bidang ini

LIMBANG: Kerajaan terus memperkasa sektor pertanian seperti yang diutamakan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar negeri ini yang banyak bergantung kepada bidang tersebut.

Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata RMK11 menekankan usaha memperhebat sektor pertanian melalui industri kecil dan sederhana (IKS) dalam mengusahakan hasil-hasil tani tempatan sekali gus merealiasasikan Wawasan 2020.

Beliau berkata, untuk mencapai tujuan itu kerajaan memutuskan untuk mendapat input- input peringkat akar umbi termasuk pemimpin dan jabatan serta agensi kerajaan berkaitan dalam memperkembang industri berkaitan yang diusahakan dalam skala besar.

“Usaha memperkasa sektor pertanian adalah selaras dengan langkah kerajaan meningkatkan pendapatan masyarakat dan ekonomi negara melalui sektor pertanian.

“Oleh itu, masyarakat perlu merebut peluang daripada segala bantuan dan program yang disediakan untuk memajukan diri, masyarakat, negeri dan negara,” katanya pada Karnival Jualan Produk Pertanian dan Pesta Makanan Limbang di sini semalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Maria Hasman, Pegawai Pertanian Limbang Mothar Ali, Timbalan Residen Bahagian Limbang Hamidah Halpi dan Pegawai Daerah Limbang Hamdiah Bakir.

Awang Tengah berkata, penglibatan masyarakat dalam sektor pertanian perlu bukan sahaja tertumpu kepada tanaman tetapi juga pasaran.

“Kita perlu menggunakan teknologi sedia ada untuk meningkatkan produktiviti dan penyelidikan dengan memastikan tanaman ditingkatkan daripada aspek baja, jenis tanaman dan benih,”katanya.

Tambah beliau, banyak agensi membantu dari segi latihan dan bimbingan selain cara memasarkan produk mereka.

“Kuasai bidang pemasaran dan selok-belok produk yang kita hasilkan agar dapat dipasarkan.

“Kalau tertumpu kepada pasaran tempatan di Limbang sahaja, kita tidak berjaya kerana penduduk tidak ramai, kita perlu menjadikan Limbang menjadi pusat tarikan pembeli negara jiran,” katanya.

Beliau berkata pengunjung negara jiran gemar membeli hasil dan produk pertanian, kuih-muih merupakan satu daripada produk yang meningkatkan industri pelancongan.

“Apa juga produk dihasilkan perlu mempunyai kualiti baik dan tinggi untuk dipasarkan hingga ke Semenanjung Malaysia dan kawasan lain dengan menjaga kualiti produk termasuk pembungkusan,” tambahnya.

Beliau berkata kerajaan boleh membantu dari segi cara untuk memasarkan produk melalui agensi kerajaan lain seperti FAMA dengan memainkan peranan mereka.

Justeru, beliau mahu FAMA mengadakan Pusat Pengumpulan Produk (PPP) daerah Limbang bagi membantu memasarkan produk mereka.

Dalam pada itu, masyarakat harus bijak menggunakan kemudahan teknologi termasuk Internet untuk menjalin rangkaian pasaran luar.

“Hari ini banyak kaedah melalui Internet yang dapat digunakan untuk meningkatkan hubungan pasaran dengan pihak luar,” jelasnya.

Pada program itu, Awang Tengah mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM60,000 kepada Pejabat Residen Bahagian Limbang untuk menjalankan aktiviti mereka.

 

Advertisement