Anda di sini

Pastikan pemilik NCR terima geran

Advertisement

SERIAN: Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) akan terus berusaha memastikan lebih ramai pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kalangan Bidayuh yang menyertai projek mendokumentasikan tanah menerima geran pemilikan.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Dato Sri Michael Manyin Jawong yang juga penasihat DBNA berkata, geran tanah itu nanti bukan sahaja menjamin pemilikan tanah malah membolehkan pemiliknya turut serta dalam penanaman secara komersial, selain menikmati subsidi dan bantuan kerajaan.

Jelasnya, DBNA diberi kepercayaan oleh Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ketika masih memegang jawatan Ketua Menteri untuk memulakan inisiatif kerja pengukuran perimeter tanah NCR seperti yang dijalankan oleh Jabatan Tanah dan Survei.

“Memandangkan hanya Jabatan Tanah dan Survei sahaja mempunyai kuasa mengukur tanah NCR, maka kami  dinasihatkan menggunakan dokumentasi yang turut menggunakan kaedah serupa.

“Hanya menerusi perolehan geran dan pengukuran tanah ini dapat membuktikan tanah itu harta pemiliknya dan kami berusaha bersungguh-sungguh dalam merealisasikan impian itu dengan terus berhubung dengan kerajaan dan Ketua Menteri baharu (Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem) memandangkan bekas Ketua Menteri memberi sokongan padu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sijil Penyertaan dan Borang Dokumentasi Tanah NCR DBNA Fasa Dua di Dewan Masyarakat Serian kepada 50 kampung di bahagian ini, semalam.

Hadir sama, Presiden DBNA Datu Ik Pahon Joyik, Pegawai Daerah Serian merangkap Pengerusi DBNA Serian Sinde Muling, Setiausaha Politik Ketua Menteri John Davidu Nyauh, Temenggung Bidayuh Samarahan Robert Sulis Ridu dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dokumentasi NCR Serian Charlie Ungang.

Serian mempunyai 162 kampung Bidayuh di mana enam daripadanya telah menjalankan projek dokumentasi tanah yang melibatkan pembinaan dan penyelenggaraan daftar tanah NCR, survei dan pemetaan tanah NCR dan pembangunan serta pelaksanaan kerangka serta sistem organisasi pentadbiran tanah NCR di kampung-kampung Bidayuh.

Setakat ini hanya dua kampung Bidayuh iaitu Kampung Skuduk berhampiran Tapah dan Kampung Pisa di Krokong, Bau telah menerima geran pemilikan tanah.

Manyin memberitahu, inisiatif mendokumentasikan tanah NCR di kalangan komuniti Bidayuh juga diyakini dapat mengurangkan pertikaian hak milik dan persempadanan tanah antara ahli keluarga.

Menurutnya, usaha itu dilihat sebagai mekanisme terbaik dalam menangani konflik antara keluarga memandangkan banyak kes berkaitan tanah yang dibawa ke mahkamah masih belum dapat diselesaikan.

Di bawah Ordinan Tanah Sarawak katanya, kerja-kerja penyukatan tanah hanya boleh dilakukan oleh Jabatan Tanah dan Survei, tetapi apa yang dilakukan oleh DBNA adalah memudahkan, mempercepatkan dan mengurangkan satu daripada masalah utama iaitu pertikaian tanah.

“Banyak kes seumpama ini yang dibawa ahli keluarga ke mahkamah masih belum dapat diselesaikan jadi cara terbaik untuk menyelesaikannya adalah dengan mendokumentasikan tanah tersebut,” katanya.

Projek dokumentasi tanah NCR Bidayuh melibatkan pembinaan dan penyelenggaraan daftar tanah NCR, survei dan pemetaan tanah NCR dan pembangunan serta pelaksanaan kerangka serta sistem organisasi pentadbiran tanah NCR di kampung-kampung Bidayuh.

Malah katanya, projek itu akan memberi perlindungan tanah adat milik bersama di kampung-kampung serta memudahkan pengeluaran surat hak milik tanah Bumiputera oleh kerajaan pada masa depan.

“Peta dikeluarkan DBNA adalah diiktiraf oleh Jabatan Tanah dan Survei kerana manual digunakan untuk melakukan dokumentasi adalah serupa dengan yang digunakan jabatan itu melakukan kerja ukur keliling,” katanya.

Advertisement