Anda di sini

MRSM ketiga di Sabah dirasmikan

Advertisement

SANDAKAN: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam merasmikan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sandakan, MRSM ketiga beroperasi di Sabah.

MRSM Sandakan dengan kos pembinaan RM100 juta itu terletak di Batu 10, Jalan Sungai Batang, berada dalam hab Pendidikan Sandakan, siap dibina pada 2012 dan mula beroperasi Januari 2013.

Ia mampu menampung 1,050 pelajar pada satu-satu masa.

Selain MRSM Sandakan, dua lagi MRSM yang sedang beroperasi di Sabah ialah MRSM Kinarut di Papar dan MRSM Tun Mustapha di Tawau. Sebuah lagi MRSM sedang dalam pembinaan di Semporna dan dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2015.

Mohd Shafie dalam ucapan perasmiannya berharap institusi ilmu berkenaan akan menjadi penyumbang utama bagi mewujudkan masyarakat berpendidikan dan berdaya saing di negara ini.

Beliau berkata kerajaan akan terus melancarkan misi memajukan masyarakat berlandaskan ilmu pendidikan dan kemahiran sebagai landasan untuk mencapai kejayaan.

“Pembukaan MRSM Sandakan bukan sahaja menguntungkan dari segi peluang-peluang penerokaan ilmu dan pembinaan modal insan, masyarakat bersahsiah dan berdaya saing, malah ia dapat meningkatkan taraf ekonomi masyarakat di daerah  ini,” katanya.

Mohd Shafie percaya pembukaan MRSM Sandakan akan memberi semangat baharu kepada pencinta ilmu, khususnya pelajar di sekitar Sandakan dan daerah berhampiran yang bercita-cita tinggi menyambung pengajian namun tidak dapat berbuat demikian kerana halangan ekonomi. — Bernama

Advertisement