Anda di sini

Miri pertahan kejuaraan Kejohanan Balapan dan Padang MSSS Ke-42

Advertisement

KUCHING: Miri mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) Ke-42 yang menutup tirainya di Padang Jubli, di sini semalam.

Kontinjen yang diwakili seramai 138 atlet itu menggondol 31 pingat emas, 34 perak dan 23 gangsa bagi mengumpul 459.5 mata.

Tempat kedua dirangkul kontinjen tuan rumah, Kuching yang mengutip 456 mata hasil pungutan 31 emas, 30 perak dan 31 gangsa.

Manakala Sarikei di tempat ketiga dengan 255 mata setelah mengutip 14 emas, 19 perak dan 16 gangsa.

Pemenang tempat keempat hingga ke-11 Sibu (245), Bintulu (148), Samarahan (110.5), Kapit (80), Betong (51), Limbang (51), Mukah (38) dan Sri Aman (35).

Kejohanan selama empat hari itu turut menyaksikan 11 rekod kejohanan dipecahkan menerusi Ngu Ing Biao (melempar cekera lelaki bawah 14 tahun), Wong Xio Jing (melempar cekera wanita bawah 14 tahun), Josephine Joseph (lompat tinggi wanita bawah 12 tahun) dan Johnny Ling (melempar cekera lelaki bawah 15 tahun).

Selain itu, rekod turut dicatat dalam acara lompat tinggi wanita bawah 14 tahun dan lelaki bawah 18 tahun menerusi Annir Ng Wei Yen dan Jonathan Tinggang, acara 100 meter dan 200 meter wanita bawah 18 tahun menerusi Narris Foo, acara 400 meter lari berpagar oleh Quek Lee Yong, acara 4×200 meter lelaki bawah 12 tahun dan 4×100 meter wanita bawah 14 tahun.

Olahragawan dan Olahragawati milik Josephine Joseph, Royhannes Jeffery, Wong Xio Jing, Ngu Ing Biao, Then Yi Chin Gladys, Ullia Ulanda Rumpang, Johnny Ling, Norris Foo dan Jonathan Tinggang.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Abdillah Adam merasmikan majlis penangguhan dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Dalam ucapannya, beliau memberitahu kejohanan itu bertujuan memilih atlet-atlet yang akan mewakili Sarawak pada Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) Ke-18 di Alor Setar, Kedah bulan depan.

“Saya yakin para atlet kita mampu mempertahan kejuaraan buat kali ke-18 pada Kejohanan MSSM yang akan berlangsung di Kedah nanti.

“Namun, kita perlu memberi perhatian serius terhadap latihan kerana pasukan negeri- negeri lain sudah mula berusaha untuk menewaskan Sarawak,” katanya.

Menurut Abdillah, beliau cukup gembira melihat prestasi para atlet yang terlibat pada kejohanan kali ini dan berharap mereka dapat mengekalkan pencapaian itu pada Kejohanan MSSM nanti.

Seramai 825 atlet dari 11 bahagian negeri ini menyertai kejohanan berlangsung sejak 2 April lalu.

Advertisement