Anda di sini

Maklumat berterusan redakan emosi keluarga penumpang MH370: Pensyarah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Penyaluran maklumat terkini dari semasa ke semasa berhubung kehilangan penerbangan MH370 oleh pihak berkuasa Malaysia dilihat dapat meredakan tekanan emosi keluarga penumpang, khususnya di China.

Pensyarah kanan Institut Pengajian China Universiti Malaya Dr. Ling Tek Soon berkata tindakan kerajaan Malaysia itu adalah langkah bijak terutama bagi menangani pelbagai tuduhan terhadap Malaysia yang dibuat oleh media antarabangsa yang menyiarkan pelbagai teori sehingga memburukkan lagi keadaan emosi keluarga penumpang warga China.

“Ini disebabkan oleh pengetahuan mereka terhadap Malaysia masih kabur. Ada data menunjukkan bahawa hampir 70 peratus rakyat di sana tidak mengetahui tentang Malaysia.

“Jadi ini menunjukkan bahawa mereka amat mempercayai informasi yang mereka dapat melalui media luar negara,” katanya kepada Bernama di sini malam kelmarin.

Terdahulu beliau menjadi anggota panel Forum MH370 ‘Incident: Enlightenment and Reflection’, di Kampus Universiti UCSI di Cheras, yang dianjurkan UCSI Poll Research Centre dan MCA Special Task Force on International Issue.

Ditanya sama ada insiden itu memberi kesan kepada hubungan Malaysia-China, Ling berkata pada dasarnya hubungan berkenaan tidak tergugat kerana kerajaan China dilihat masih mementingkan hubungan baik yang terjalin selama ini. — Bernama

Advertisement