Anda di sini

Kerajaan minta bantuan daripada parti komponen BN galak Cina sertai PDRM

Advertisement

KUCHIG: Kerajaan meminta bantuan parti komponen Barisan Nasional (BN) di seluruh negara bagi menggalakkan kaum Cina di seluruh negara menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri James Dawos Mamit berkata tindakan itu wajar kerana 28 peratus daripada 30 juta populasi rakyat di Malaysia adalah orang Cina.

Bagaimanapun lebih ramai bangsa itu lebih cenderung melibatkan diri dalam perusahaan atau perniagaan.

“Di Semenanjung Malaysia apa yang kita lakukan adalah dengan meminta bantuan MCA dan MIC untuk mengalakkan kaum Cina dan India untuk berkhidmat dengan kerajaan.

“Rakyat bukan Bumiputera sudah lama didedahkan dengan perusahaan atau bisnes maka apabila mereka sudah membesar mereka mahu jalankan bisnes juga sebagai pendapatan.

“Justeru, perkhidmatan dengan kerajaan seperti bomba, PDRM dan polis tidak begitu digemari,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pameran dan Kempen Pencegahan Jenayah di Eastern Mall Siburan, semalam.

Bagi Sarawak pula jelasnya, kaum bukan Bumiputera (Cina) telah terlibat dengan pekerjaan dalam sektor awam namun demikian jumlahnya tidak ramai.

“Mungkin kerana kerja kerajaan kadangkala berat, bagi keluarga mereka yang kaya mereka tidak mahu kerja kerajaan kerana lebih kepada disiplin dan tugasan.

“Saya kenal ramai yang sudah berpangkat tinggi dalam pasukan PDRM,” jelasnya.

Kaum bukan Bumiputera kurang lebih 30 peratus di Sarawak termasuk Cina dan India.

Sebelum ini, pada 1 Mac lepas Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dipetik melalui sumber berkata pihaknya mahu meningkatkan jumlah anggota daripada kaum Cina kepada lima peratus dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketika ini hanya terdapat kira-kira 1,800 atau 1.78 peratus anggota polis berbangsa Cina daripada hampir 125,000 anggota PDRM di seluruh negara.

Beliau mengakui, faktor gaji menjadi antara punca kurangnya penyertaan belia kaum Cina dalam pasukan keselamatan itu

Bagi menggalakkan penyertaan, beberapa langkah telah diambil, termasuk melonggarkan syarat kemasukkan iaitu kaum Cina warganera Malaysia hanya perlu lulus mata pelajaran Bahasa Malaysia termasuk lulus ujian lisan dalam SPM.

Lulus ujian lisan penglihatan mata kiri dan kanan yang diuji berasingan dengan ketetapan V/6/9 menggunakan cermin mata atau kanta lekap.

Pihaknya juga dalam pertimbangan memendekkan tempoh latihan daripada sembilan bulan kepada enam bulan.

Dawos yang juga Ahli Parlimen Mambong turut melawat pameran dan kempen agensi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara Kuching dan Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan serta menyaksikan demonstrasi K9 dan Bomba di pekarangan pusat beli-belah itu.

Advertisement