Anda di sini

IPT digalak laksana program ‘2+2’

Advertisement

Lahir graduan miliki kebolehpasaran tinggi dalam pekerjaan: Idris

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi negara ini digalak melaksanakan program ‘2+2’ sebagai langkah melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi dalam bidang pekerjaan, kata Menteri Pendidikan II Datuk Idris Jusoh.

Beliau berkata program itu, yang selaras dengan transformasi pendidikan, memperuntuk tempoh dua tahun pengajian di  kolej atau universiti dan dua tahun lagi tempoh praktikal atau pekerjaan berkaitan bidang pengajian mereka.

“Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) boleh memohon kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk melaksanakan program ini bagi mendedahkan graduan dengan pengalaman pekerjaan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Festival Rakyat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, di sini semalam.

Program itu anjuran bersama UMNO Bahagian Cheras dan Yayasan Pendidikan Cheras dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Sementara itu, Idris berkata seramai 170 orang telah memohon untuk dinilai menerusi Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Daripada jumlah, katanya sebanyak 13 permohonan  untuk akses ke program Ijazah Sarjana, 108  untuk Ijazah Sarjana Muda, 47 untuk Diploma dan dua untuk Sijil.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 107 orang telah lulus penilaian APEL,” katanya.

Idris berkata MQA telah diberikan mandat untuk melaksanakan APEL dengan mewujudkan laluan di bawah pembelajaran sepanjang hayat bagi menyokong Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara iaitu Teras 6 iaitu Membudayakan Pembelajaran Sepanjang Hayat.

Inisiatif pelaksanaan APEL telah diusahakan sejak 2008 oleh MQA dengan pengumpulan maklumat berkaitan dari dalam dan luar negara. — Bernama

Advertisement