Anda di sini

Dua bintang Sepanyol bakal bertarung pada aksi final ITF

Advertisement

KUCHING: Dua bintang Sepanyol, Roberto Ortega-Olmeda dan Carlos Boluda-Purkiss bakal berentap pada perlawanan akhir acara perseorangan Kejohanan Tenis ITF Men’s Future US$15,000 hari ini.

Roberto terlebih dahulu mara setelah mengejutkan pilihan pertama Benjamin Mitchell dari Australia.

Beliau mempamerkan permainan bertenaga untuk menundukkan Benjamin 6-4 pada set pertama.

Pada set kedua, Roberto mendahului 2-0 sebelum Benjamin menarik diri bagi memastikan pilihan ketiga itu melangkah ke perlawanan akhir.

Dalam satu lagi perlawanan, Carlos diheret Ivo Klec bermain dalam tiga set sebelum berjaya memastikan slot ke perlawanan akhir.

Pada set pertama, Carlos yang juga pilihan ketujuh berdepan tentangan sengot dari pemain Slovakia itu sebelum menang 7-5.

Ivo kemudian bangkit pada set kedua untuk mencatat kemenangan 6-4.

Pada set penentuan, Carlos tampak lebih yakin dan memperagakan permainan yang lebih agresif.

Beliau menang 6-3 untuk mara ke perlawanan akhir hari ini.

Dalam pada itu, acara beregu lelaki telah menutup tirainya kelmarin dengan pasanganThailand Sonchat Ratiwatana dan Sanchai Ratiwatana muncul juara setelah menewaskan wakil Taiwan Chih-Jen Ho dan Jui-Chen Hung dengan 6-2, 6-4.

Advertisement