Anda di sini

Tapak bina balai polis di Samalaju dikenal pasti

Advertisement

PENERANGAN: Wan Junaidi (tengah) bercakap pada sidang media bersama Kamariah (kiri), Mohidin, Adenan dan Madang.

BINTULU: Tanah seluas 25 ekar di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) dikenal pasti dan dipersetujui oleh Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi pembinaan balai polis berkelas A di sini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya membincang berkenaan pembinaan balai itu secara terperinci pada mesyuarat bulan ini untuk mengenal pasti ukuran sempadan tanah terbabit.

Katanya, setelah pengukurannya diluluskan oleh Jabatan Tanah dan Survei (JTS) ia akan diserahkan kepada Unit Perancangan Negeri (SPA) dan kemudian kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“BDA akan membuat kerja awal bukan sahaja kerja-kerja menumpu kepada pembinaan balai polis, bahkan kemudahan bagi agensi-agensi lain di kawasan itu,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja melihat tapak pembinaan balai polis di SIP dan Penjara Bintulu, petang kelmarin.

Beliau berkata, kawasan di situ juga adalah tapak bersama bagi pembinaan kemudahan agensi-agensi lain tetapi diasingkan dengan tapak pembinaan balai polis.

“Semasa kerja-kerja pembersihan tapak dijalankan, kita tidak menunggu kerja itu siap sebaliknya kita akan membuat pelan lain,” jelasnya.

Menurutnya, penekanan terhadap soal keselamatan di Bintulu amat penting kepada negara dan negeri ini memandangkan secara kasarnya aset kerajaan di SIP dianggarkan bernilai RM150 bilion.

“Sambil melihat aset itu perlu dikawal dan dijaga, saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri bertanggungjawab datang melihat sama ada kemudahan keselamatan disediakan di kawasan ini.

“Lawatan saya ke Samalaju juga adalah untuk melihat tapak tanah yang diperuntukkan oleh BDA dan kerajaan negeri. Kita berterima kasih kepada BDA secara prinsipnya memberi tapak tanah besar dan strategik untuk pembinaan balai polis di sini,” katanya

Wan Junaidi berkata, apa yang menimbulkan kerisauan adalah pembangunan infrastruktur keselamatan di Samalaju agak perlahan berbanding banyak pembangunan lain mengambil tempat namun SIP merupakan satu tempat dinamik untuk pelaburan.

Begitupun, kita perlu menenangkan perasaan pelabur dengan memberi mereka jaminan keselamatan sebelum merancang membina balai polis kecil sahaja tetapi apabila melihat keadaan sebenar maka amat perlu untuk membina balai polis Kelas A melalui pembangunan berperingkat.

Semasa diberi taklimat, pihaknya diberi tapak tanah masih rendah nilainya dan jika empat tahun akan datang nilai tanah itu akan melonjak lima kali ganda lebih tinggi.

Menurutnya, pemilikan tanah oleh KDN dengan nilai tawaran yang diberikan oleh BDA itu akan menguntungkan sekiranya dijadikan sebagai bank tanah.

“Disebabkan itu, kerajaan negeri dan pusat boleh bekerjasama dalam soal keselamatan,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Bahagian Pembangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kamariah Mohd Noah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Perolehan) KDN Datuk Adenan Ab Rahman, Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak, Pengarah Penjara Negeri Sarawak, Abdul Kadir Rais dan Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Madang Usat.

Advertisement