Anda di sini

PP digesa tidak teruskan kajian kenaikan tarif air

Advertisement

GEORGE TOWN: Pergera-kan Pemuda UMNO Pulau Pinang mendesak kerajaan negeri supaya tidak meneruskan langkah menaikkan tarif air kerana ia akan menambah bebanan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua pergerakan itu Rafizal Abd Rahim berkata tidak sampai setahun rakyat di negeri itu dibebani dengan kenaikan 100 peratus surcaj pemuliharaan air, kini mereka bakal berhadapan dengan kenaikan tarif air yang dijangka akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, tindakan kerajaan negeri itu jelas sekali bercanggah dengan manifesto DAP yang tidak akan menaikkan tarif air sekiranya pakatan pembangkang terus mene-rajui Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lepas.

“Sebelum ini kita telah dijanjikan (Ketua Menteri) Lim Guan Eng bahawa tidak akan berlaku kenaikan tarif air. Tetapi apabila beliau telah menang pada pilihan raya umum yang lalu, tarif air dijangka naik.

“Ini satu lagi janji palsu, lidah bercabang daripada pihak kerajaan negeri. Pemuda UMNO negeri mendesak agar kajian kenaikan tarif air ini tidak diteruskan dan walaupun diteruskan, kenaikan ini tidak akan berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di sini, malam kelmarin.

Pada Rabu, Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah memberi kebenaran kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk menjalankan kajian mengenai kenaikan ta-rif air sebagai langkah terakhir bagi mengurangkan penggunaan air di Pulau Pinang yang mencatatkan kadar tertinggi di Malaysia.

Lim yang juga pengerusi PBAPP berkata sekiranya ta-rif air di negeri ini dinaikkan, kadarnya masih merupakan yang terendah berbanding di negeri lain, iaitu RM0.31 bagi setiap 1,000 liter padu untuk 35,000 liter pertama.

Menurutnya langkah pendidikan dan surcaj penjimatan air yang dikenakan sebagai hukuman ke atas pengguna sebelum ini, gagal memben-dung sikap pembaziran air di negeri ini. — Bernama

Advertisement