Anda di sini

Pembantu kedai makan didenda RM800 kerana cederakan isteri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM800 atau tiga bulan penjara ke atas seorang pembantu kedai makan kerana mencederakan isterinya Isnin lepas.

Majistret Nurul’Ain Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Hafizul Aziz Saad, 28, selepas dia mengaku bersalah di mahkamah semalam.

Mengikut pertuduhan, Noor Hafizul Aziz dituduh dengan sengaja mencederakan isterinya, Rizawati Zainudin,38, yang juga seorang pramugari di rumah mereka di Flat PKNS Jalan Raja Muda Kampung Baru, di sini, kira-kira jam 2 petang, 31 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Raveendran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, Noor Hafizul Aziz didakwa memukul isterinya menggunakan tangan, kaki, kasut termasuk botol air mineral dan menghentak kepala wanita itu ke dinding.

Akibat daripada kejadian itu, isterinya mengalami bengkak di bahagian kepala, dan luka di muka serta badan selain sakit di seluruh badan.

Noor Hafizul Aziz ketika disoal mahkamah mengakui tersalah cara dalam menghukum isterinya.

“Cara saya hukum (isteri) salah…saya menyesal. Saya pukul sebab dia buat macam saya tak ada dalam rumah. Dia diam saja, bila saya tanya dia tak nak jawab,” katanya. — Bernama

Advertisement