Anda di sini

Pasangan kembar dari Thailand merangkul kejuaraan beregu lelaki Kejohanan ITF

Advertisement

RAI KEJAYAAN: Patrick (tiga kanan) dan Setiausaha SLTA, Bernard Chin (dua kiri) bersama
Chih-Jen Ho, Jui-Chen Hung, Sonchat dan Sanchai pada majlis penyampaian hadiah di SLTA, Kuching semalam.

KUCHING: Pasangan kem­bar dari Thailand, Sonchat Ratiwatana dan Sanchai Ratiwatana merangkul ke­juaraan acara beregu lelaki Kejohanan Tenis ITF Men’s Future US$15,000 di gelang­gang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) di sini se­malam.

Sonchat dan Sanchai menewaskan peserta dari Taiwan, Chih-Jen Ho dan Jui-Chen Hung dengan 6-2, 6-4 dalam perlawanan yang jelas memihak kepada pas­angan Thailand.

Kemenangan itu memas­tikan Sonchat-Sanchai meraih US$930 manakala Chih-Jen dan Jui-Chen berpuas hati dengan membawa pulang US$540.

“Ini merupakan kemenan­gan yang bukan mudah bagi kami kerana pemain Taiwan memberi tentangan cukup hebat. Apapun, kami cukup gembira kerana berjaya mer­angkul kejuaraan ini setelah gagal dalam acara perseoran­gan,” kata Sanchai ditemui di sini semalam.

Presiden SLTA, Datuk Patrick Liew menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Dalam pada itu, pilihan pertama dari Autralia, Ben­jamin Mitchell melangkah ke separuh akhir dan akan menentang Roberto Ortega-Olmeda dari Sepanyol hari ini.

Benjamin mara setelah mudah menewaskan Sanchai Ratiwatana 6-1, 6-2.

Manakala Roberto ter­paksa bertarung dalam tiga set sebelum berjaya men­jinakkan Jui-Chen Hung dari Taiwan dengan 6-4, 3-6, 6-4.

Turut melangkah ke sepa­ruh akhir pilihan keempat dari Slovakia Ivo Klec yang menundukkan Karunuday Singh 6-4, 6-4.

Bagaimanapun, beliau ter­paksa menunggu pemenang satu lagi perlawanan suku akhir antara Carlos Boluda-Purkiss dari Sepanyol dan pilihan kedua dari Jepun Shuichi Sekiguchi.

Perlawanan mereka dihen­tikan pada set kedua ketika Carlos mendahului 4-3 akibat hujan lebat. Beliau menang dalam set pertama dengan 7-5.

 

Advertisement