Anda di sini

MH370: Fasa cari dalam air bermula

Advertisement

PERTH: Usaha menjejaki pe­sawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 kini diperluas kepada pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam pesa­wat yang dipercayai hilang di selatan Lautan Hindi itu.

Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Ber­sama Angus Houston ber­kata, dalam masa sama usaha pencarian dari udara tetap diteruskan.

Beliau berkata, kapal Ocean Shield milik tentera laut Australia dan HMS Echo milik tentera laut British akan menumpukan usaha menge­san kotak hitam itu di laluan sepanjang 240 kilometer di selatan Lautan Hindi.

“Menggunakan ‘Towed Pinger Locator’ (TPL) dari tentera laut Amerika Syari­kat, kedua-dua kapal akan melakukan pencarian dalam satu laluan sejauh 240 km,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Ini merupakan kali pertama pencarian bawah permukaan air dilakukan dalam misi mengesan isyarat daripada kotak hitam penerbangan MH370 tersebut.

Sementara itu, Komander Pasukan Petugas Bersama 658 Laksamana Pertama Peter Leavy dalam satu kenyataan di sini semalam berkata, usaha mengesan akan dilakukan pada kedalaman sekurang-kurangnya 3,000 meter.

Dalam usaha ini, kedua-dua kapal harus bergerak pada kelajuan yang rendah sekitar tiga knot, katanya.

Beliau juga berkata usaha ha­rus dijalankan secara tersusun dan berhati-hati bagi memas­tikan TPL dapat mengesan sebarang isyarat termasuk yang sangat lemah daripada ‘pinger.’ — Bernama

 

Advertisement