Anda di sini

Kebakaran sebabkan tujuh keluarga hilang tempat tinggal

Advertisement

MUSNAH: Keliahatan Lim Chu Lai, 61 (kiri) dan isteri, Buntoem Lim, 53, mencari dan memungut peralatan yang masih selamat selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran rumah setinggan di Jalan Tuanku Abdul Halim di Alor Setar, kira-kira jam 12.45 pagi semalam . — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Tujuh keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah setinggan mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 pagi itu, sebanyak 10 rumah hangus terbakar dipercayai akibat litar pintas.

Seorang daripada penghuni rumah itu, Lim Chu Lai, 61, berkata ketika kejadian beliau dan isteri, Buntoem Lim, 53, serta empat anggota keluarganya sedang tidur sebelum dikejutkan dengan jeritan kuat jiran yang memberitahu rumah mereka terbakar.

Peniaga makanan itu berkata beliau mendapati api marak di rumahnya lalu mengejutkan isteri, adik lelaki serta dua anak lelaki, seorang anak perempuan dan menantunya bagi menyelamatkan diri.

“Kami tinggal sehelai sepinggang sebab tak sempat selamatkan apa-apa.

Saya simpan duit RM10,000 bawah tilam sebab tak sempat ke bank… habis semua hangus,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Lim berkata beliau menanggung kerugian kira-kira RM20,000 apabila semua barangan dalam rumahnya termasuk perkakasan berniaga musnah dijilat api.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana semua anggota keluarganya serta jiran selamat dalam kebakaran itu.

“Buat masa ini, kami sekeluarga tidak ada tempat tinggal dan berharap ada pihak sudi hulurkan bantuan,” katanya.

Seorang warga Bangladesh Md Joy, 30, pula tidak dapat pulang ke negaranya apabila wang simpanan sebanyak RM3,500 musnah dalam kebakaran itu.

Beliau berkata semua barangan termasuk telefon bimbit dan televisyen juga musnah.

Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mustafa Kamal Ahmad ketika dihubungi berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.51 pagi mengenai kebakaran itu dan tiba di tempat kejadian pada jam 12.55 pagi.

Lima jentera dengan 15 anggota dihantar ke lokasi bagi memadamkan kebakaran daripada merebak ke kawasan rumah setinggan berhampiran.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam siasatan, katanya. — Bernama

Advertisement