Anda di sini

KDN panggil kontraktor bertanggungjawab agar serah segera Penjara Bintulu

Advertisement

BINTULU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memanggil kontraktor bertanggungjawab supaya dapat menyerahkan Penjara Bintulu bernilai RM98.5 juta yang telah siap dibina di Batu 12, Jalan Bintulu-Miri di sini dengan segera.

Timbalan Menterinya, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya akan melihat melalui perjanjian yang dibuat dan tindakan susulan yang boleh diambil tanpa teragak-agak ke atas mana-mana pihak.

Sambil tidak menolak untuk mengambil tindakan paksaan katanya, jabatan yang menggunakan bangunan penjara itu adalah jabatan yang penting.

“Dari segi fizikalnya penjara baharu itu telah siap tetapi tidak dapat dihuni disebabkan kuncinya belum diserahkan oleh subkontraktor kepada kontraktor utama, kemudian kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan seterusnya kepada KDN,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Taman Perindustrian Samalaju dan Penjara Bintulu, kelmarin.

Katanya, ada sedikit masalah menyebabkan tidak boleh pindah namun bangunan itu strategik dan selesa untuk pihak Penjara menjalankan tugas mereka.

Beliau berkata, keluasannya mencukupi menempatkan 500 penghuni atau lebih berdasarkan kepada standard dipakai.

Menurutnya, ada lebihan tanah di kawasan penjara itu boleh digunakan untuk mengajar banduan-banduan antaranya bercucuk tanam, menjalankan aktiviti-aktiviti luar dan sebagainya.

Wan Junaidi berkata, pada masa kini penjara bukan lagi seperti mana yang kita lihat dahulu sebagai tempat menghukum sahaja tetapi sekarang ada garis-garis tertentu ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai oleh badan-badan antarabangsa.

“Bahkan badan-badan antarabangsa yang membuat lawatan ke Penjara Malaysia melihat macam mana kita mengendalikan penjara kita sebagai yang terbaik di Asia.

“Mungkin ada yang tidak melihat bahawa pegawai-pegawai penjara ada yang melatih penghuninya dengan kemahiran dan belajar semula sehingga ke peringkat universiti.

“Produk yang dihasilkan oleh penghuni penjara pula ada yang dijual dengan penjara lain seluruh Malaysia antaranya tenunan kain songket, batik dan baju sutera sama seperti dihasilkan oleh pakar pengeluar kain itu di beberapa negeri,” ujarnya.

Berkenaan masa depan banduan, beliau berkata 98 peratus orang yang keluar penjara telah mendapat kerja.

“Mereka tidak lagi membuat kerja lama (yang menyalahi undang-undang), sebaliknya kerja yang betul dan pihak penjara  banyak berbincang dengan syarikat-syarikat luar dan kita berterima kasih kepada sektor swasta yang mengambil mereka yang keluar penjara bekerja dengan mereka,” katanya.

Justeru, selain membangunkan masyarakat di luar, banduan dalam penjara juga diberi perhatian supaya mereka boleh dimasyarakatkan semula.

Mengulas mengenai pertanyaan di Parlimen sama ada banduan berpeluang untuk mengundi, Wan Junaidi berkata: “Sesiapa yang telah dipenjara tidak boleh mengundi mengikut garis undang-undang dan perlembagaan yang menghalang mereka yang bersalah untuk mengundi dan mereka juga hilang kelayakan mengundi.

“Melainkan jika kita pinda perlembagaan secara konsensus dan seterusnya diluluskan oleh Parlimen, tetapi sekarang kebebasan itu belum ada kerana perlembagaan itu sendiri mengatakan bahawa hak mana-mana rakyat Malaysia dibatasi undang-undang termasuk perlembagaan,” katanya.

Advertisement